KUALA LUMPUR: Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) berharap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri akan mengukuhkan lagi institusi pentadbiran kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 serta memulihkan semula ekonomi, sosial, kesihatan dan pendidikan negara. 

Pengerusinya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, PNBBC juga melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan berkenaan. 

"PNBBC menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas pelantikan sebagai Menteri Kanan Luar Negeri serta mengetuai Kluster Keselamatan.

"Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan yang diberikan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. 

BACA: [LAPOR LANGSUNG]: Politik Malaysia pasca Mesyuarat MKT UMNO

Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) juga menyeru semua pihak memberikan kerjasama dan tumpuan yang optimum.

"Ini bagi membantu mengurangkan beban rakyat agar mereka boleh meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh masa yang kritikal dan mencabar ini serta mengembleng tenaga bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat," ujarnya.