KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan keseluruhan kepimpinan parti itu yakin pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah amat tepat.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa pelantikan Ismail itu berdasarkan pengalaman pemimpin berkenaan sebagai seorang Menteri dan Menteri Kanan.

"Presiden Pas dan seluruh kepimpinan serta ahli-ahli Pas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas perlantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia oleh YAB. Perdana Menteri pada hari ini.

"Pas yakin perlantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah amat tepat berdasarkan pengalaman beliau sebagai seorang Menteri dan Menteri Kanan serta merupakan pemimpin UMNO paling kanan dalam Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional," jelas kenyataan itu.

BACA: Ismail Sabri dilantik TPM, Hishammuddin Menteri Kanan Luar Negeri - PMO

BACA: "Saya sedar dan insaf, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar" - Hishammuddin

Tambah beliau, Pas yakin Ismail Sabri akan dapat membantu Perdana Menteri dalam menguruskan negara terutama menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19.

"Pas turut mengucapkan tahniah kepada YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Negeri, yang turut dilantik sebagai seorang Menteri Kanan.

"Beliau yang juga merupakan anggota kanan dalam Kerajaan sebelum ini diyakini mampu berganding tenaga dengan semua anggota Kabinet yang lain ke arah membawa Malaysia lebih dihormati di peringkat antarabangsa," jelas kenyataan itu lagi.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri berkuatkuasa serta merta.

Jelas kenyataan itu, Ismail akan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Turut dilantik, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri sekaligus mengetuai Kluster Keselamatan yang diketuai Ismail sebelum ini.