ALOR SETAR: Kerajaan bersetuju pelarasan tarif elektrik bagi NUR Power Sdn Bhd (NUR) di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) yang dilaksanakan di bawah mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis 2023 pada 16 Jun lepas.

Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan melalui pelarasan tarif elektrik itu, semua pengguna domestik (tarif N1) dikecualikan daripada kadar surcaj ICPT dan tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik; serta semua pengguna bukan domestik akan mengalami penurunan kadar surcaj ICPT daripada 8.19 sen/kWj kepada 5.39 sen/kWj.

"Pelarasan ini mengambil kira perbezaan antara kos bahan api dan kos penjanaan elektrik sebenar (bagi tempoh enam bulan) berbanding kos diunjurkan dalam penetapan kadar tarif asas NUR.

"Sebarang perbezaan akan dilepaskan dalam bentuk rebat atau surcaj (sen/kWj) melalui bil elektrik pengguna dan sekiranya kos sebenar melebihi kos yang diunjurkan maka pengguna akan dikenakan surcaj.

"Namun, sekiranya kos sebenar lebih rendah daripada kos yang diunjurkan, maka pengguna akan menerima rebat," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan bagi tempoh semakan ICPT dari 1 Jan hingga 30 Jun 2023, ST mendapati kos sebenar bagi bahan api dan kos penjanaan di KHTP adalah lebih tinggi berbanding yang diunjurkan dalam penetapan tarif asas bagi tempoh yang sama melalui tempoh kawal selia kedua (RP2) di bawah kerangka kerja incentivebased regulation (IBR), iaitu sebanyak RM50.21 juta.

"Antara faktor peningkatan kos itu berikutan kenaikan harga purata bahan api gas berpaip sehingga mencecah pada kadar RM34/mmBTU pada Januari hingga Jun 2023 mengikut formula Harga Pasaran Rujukan (RMP) berbanding yang diunjurkan iaitu RM26/mmBTU.

"Penetapan tarif elektrik untuk NUR yang dilaksanakan melalui kerangka kerja IBR ini mempunyai dua komponen utama iaitu tarif asas dan ICPT. Tarif asas tidak berubah dalam tempoh kawal selia IBR yang disemak setiap tiga tahun.

"Namun demikian, kadar ICPT diselaras setiap enam bulan bergantung kepada perubahan kos bahan api bagi penjanaan elektrik," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA