KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi jaminan bahawa peletakan jawatan tiga pegawai kanan pengurusan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) tidak akan memberi impak dan mengganggu operasi serta perkhidmatan lembaga berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pada masa ini Lembaga LTAT sedang memuktamadkan calon-calon yang berkaliber bagi mengisi jawatan Ketua Eksekutif.

Dalam masa sama, beliau berkata, kementerian sedang meneliti calon-calon yang layak daripada kalangan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk dilantik sebagai Pengerusi LTAT.

"Sebagai langkah susulan, jawatan Ketua Eksekutif yang kosong kini ditanggung oleh Ketua Pegawai Kewangan, Mohammad Ashraf Md Radzi berkuat kuasa serta-merta.

"Bagi jawatan Pengerusi LTAT pula, tugas tersebut kini dipangku oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak yang merupakan Timbalan LTAT seperti diperuntukan dalam Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101).

"Bagi organisasi seperti LTAT, pelantikan tanggungjawab tugas ini bukan perkara yang pelik. Ia pernah dilaksanakan sebe,um ini semasa peletakan jawatan Ketua Eksekutif Datuk Nik Amlizan Mohamed pada 2020 dan peletakan jawatan Datuk Seri Amrin Awaluddin pada 2021," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) yang mahu tahu apakah tindakan yang diambil oleh Kementerian berhubung isu LTAT ekoran peletakan jawatan beberapa pegawai kanan dalam entiti berkenaan baru-baru ini.

Dalam masa sama, Khaled menegaskan, MINDEF komited  memantau dan memastikan operasi yang telah dirancang untuk LTAT dapat diteruskan dengan sewajarnya.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman mengumumkan pengunduran berkuat kuasa 31 Januari lalu.

Ia disusuli dengan peletakan jawatan Pengerusi LTAT, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor seminggu kemudian.

Selain itu, Pengarah Kanan Strateginya, Dayana Rogayah Omar turut dilaporkan mengemukakan surat peletakan jawatan bagi mengejar kepentingan lain.

Berdasarkan takwim di laman rasmi Parlimen, Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 19 hari dengan tumpuan kepada perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-Ahli Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.