KUALA LUMPUR: Pemakaian pelitup muka semasa berada di dalam pengangkutan awam dan fasiliti kesihatan tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa 5 Julai ini, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata di bawah penilaian semula prosedur operasi standard (SOP), individu yang positif COVID-19 dan mereka yang mengendalikan pesakit itu, hanya dikehendaki memakai pelitup muka di lokasi berkenaan.

Katanya, tempoh pengasingan kes disahkan COVID-19 pula dipendekkan daripada tujuh kepada lima hari dari onset gejala pertama, juga berkuat kuasa 5 Julai ini.

"Individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah atau ibu mengandung terutama ketika berada di tempat sesak dan kawasan pengudaraan kurang baik pula, amat digalakkan memakai pelitup muka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu individu bergejala respiratori juga digalakkan memakai pelitup muka bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain dan semasa berada dalam perkhidmatan pengangkutan awam.

Katanya ini kerana kajian mendapati bahawa infektiviti kes COVID-19 tinggi pada lima hari pertama dari onset gejala dengan viral load yang tinggi pada tempoh berkenaan.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata status Kawasan Tempatan Jangkitan di Malaysia yang akan tamat esok, dilanjutkan untuk tempoh enam bulan lagi hingga 31 Dis 2023 walaupun penilaian situasi semasa COVID-19 berada pada tahap tidak membimbangkan dan perkhidmatan kesihatan tidak terbeban.

Beliau menjelaskan pelanjutan pengisytiharan itu masih diperlukan memandangkan terdapat risiko kemunculan varian dan subvarian baharu virus SARS-CoV-2 di negara ini.

"Selain itu, perhimpunan ramai yang dijangka berlaku semasa sambutan Hari Raya Aidiladha dan juga Pilihan Raya Negeri, berkemungkinan berisiko menyumbang kepada peningkatan kes dan membebankan sistem perkhidmatan kesihatan kerajaan jika langkah kawalan dan pencegahan tidak dilaksanakan sepenuhnya.

"Ia (juga) bagi membolehkan penguatkuasaan beberapa peruntukan dalam Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan ke Endemik) 2022 yang digubal atas kuasa Menteri di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Dr Zaliha juga memaklumkan bilangan kes baharu COVID-19 telah menunjukkan penurunan sebanyak 53.5 peratus (5,801 kes kepada 2,698 kes) dan kes kematian 35.3 peratus (17 kes kepada 11 kes) sejak lima minggu kebelakangan ini iaitu bermula Minggu Epidemiologi (ME) 21/2023 hingga ME 25/2023.

"Dari segi kapasiti hospital pula, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam dan pengisian katil fasiliti menurun manakala peratus pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal stabil pada enam peratus pada ME 25/2023 berbanding ME 24/2023," katanya.

Beliau juga memberitahu sebanyak 16,337,744 iaitu 50 peratus penduduk negara ini telah menerima dos penggalak pertama manakala 825,275 (2.5 peratus) sahaja telah menerima dos penggalak kedua hingga 27 Jun lepas.

Dr Zaliha menegaskan KKM akan terus memantau situasi COVID-19 dan juga varian yang dilaporkan untuk mengambil tindakan segera serta wajar apabila diperlukan.

Pada 5 Mei 2023, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan COVID-19 tidak lagi menjadi Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC).

-- BERNAMA