Sikap biadap seorang lelaki dewasa yang memanggil seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun kononnya ingin menunjukkan sesuatu bagaimanapun bertindak memeluk dan mencabul kanak-kanak terbabit berjaya dirakam Kamera Litar Tertutup (CCTV) di sebuah surau.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritenden Shamsudin Mamat memaklumkan rakaman CCTV itu menunjukkan lelaki itu melakukan perkara tidak senonoh tersebut di tandas Surau Al Ikhlas Zon Mawar, dekat Sungai Petani, Kedah pada 13 Disember lalu.

Shamsudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 18 Disember lalu selepas bapa mangsa menerima salinan rakaman CCTV yang terdapat di surau terbabit.

"Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang, mangsa bersama sepupunya sedang bermain di taman permainan bersebelahan surau berkenaan.

"Suspek bertindak memanggil mangsa ke tandas surau sebelum memeluk dan memegang kemaluan mangsa.

"Kemudiannya, mangsa bertindak memaklumkan kejadian itu kepada bapanya.

"Ekoran itu bapa mangsa meminta bantuan pihak surau bagi memeriksa CCTV di surau terbabit," katanya.

Katanya, rakaman CCTV mendapati lelaki bertubuh sederhana dan berkulit gelap itu memberhentikan motosikal berdekatan tandas surau sebelum memanggil dan mencabul mangsa.

Beliau berkata, mangsa meronta dan berjaya melepaskan diri dan suspek kelihatan segera meninggalkan tempat kejadian.

Menurut Shamsudin mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan bagi memburu suspek.

Sehubungan itu, Shamsudin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini supaya menyalurkan maklumat ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda atau mana-mana balai polis berhampiran atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Video kejadian yang berdurasi 1.39 minit itu juga tular di media sosial sejak semalam sehingga menimbul kemarahan nitizen yang mengharapkan supaya suspek segera ditangkap.