ALOR SETAR: Beberapa peluru meriam besi dipercayai tinggalan peperangan Kedah-Siam 1821 yang ditemukan di kawasan Muara Kuala Kedah dekat sini, kini menjadi koleksi baharu Muzium Kota Kuala Kedah.
Peluru yang ditemukan kira-kira 20 tahun lepas itu diserahkan oleh Yayasan Tunku Kassim menerusi Tunku Mansor Tunku Kassim, iaitu cucunda kepada Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Sultan Kedah ke-26).
Artifak bersejarah itu diserahkan kepada pihak muzium pada Karnival Memperingati Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj 2026 di Muzium Kota Kuala Kedah untuk dipelihara dan dipamerkan kepada orang ramai.
Pengarah Muzium Arkeologi Lembah Bujang Azhar Mohamed Noor yang mewakili Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia berkata peluru meriam itu disimpan oleh seorang individu sebagai sebahagian koleksi peribadi sebelum mengambil inisiatif untuk menyerahkannya kepada pihak muzium.
“Artifak ini mempunyai nilai sejarah dan kita amat menghargai usaha individu tersebut tampil menyerahkan kepada muzium supaya dapat dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
“Kita mengalu-alukan lebih ramai individu yang menyimpan barangan lama atau artifak bersejarah untuk menyumbangkannya kepada muzium supaya dapat bersama-sama menyelamatkan khazanah berharga seperti ini,” katanya kepada pemberita pada karnival itu di sini semalam.
Azhar berkata penyerahan artifak seperti itu amat penting kerana barangan bersejarah yang disimpan secara persendirian berisiko hilang daripada pengetahuan masyarakat jika tidak dipelihara dengan baik.
“Orang ramai patut melihat sendiri artifak berharga seperti ini terutama generasi muda supaya dapat mendalami sejarah Kedah dan memahami peristiwa masa lalu,” katanya.
Selain itu, Azhar berkata Jabatan Muzium Malaysia turut melaksanakan Kempen Derma Koleksi yang telah berlangsung hampir dua tahun bagi menggalakkan orang ramai menyerahkan koleksi atau barangan lama yang mempunyai nilai sejarah.
Beliau berkata setiap barangan yang hendak diserahkan akan dinilai terlebih dahulu oleh jawatankuasa penilai berdasarkan nilai sejarah, estetika dan kepentingannya sebelum diputuskan untuk dijadikan koleksi muzium.
“Tidak semua artifak yang diterima akan terus menjadi koleksi. Kita ada jawatankuasa penilai yang akan melihat nilai setiap barangan sebelum diterima dan dipamerkan.
“Bagi individu yang menyumbangkan koleksi, pihak kami akan mengeluarkan sijil penghargaan sebagai tanda terima kasih atas sumbangan mereka dalam menyelamatkan khazanah sejarah,” katanya.
Azhar berkata pihak muzium juga telah menjalankan kajian berkaitan peluru meriam itu yang terdapat dalam pelbagai saiz.
Selain peluru meriam, beliau berkata terdapat pelbagai penemuan lama di kawasan Kota Kuala Kedah termasuk duit syiling namun pengendalian sesetengah barangan perlu mengambil kira peruntukan undang-undang dan pemantauan pihak berkuasa berkaitan warisan.
-- BERNAMA