PETALING JAYA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing pada Selasa menggesa pengendali pusat beli-belah, peruncit, pengusaha hotel, ejen pelancongan dan pemegang taruh industri lain supaya bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem pelancongan membeli-belah Malaysia.
Beliau berkata kerjasama erat sangat penting bagi mewujudkan pengalaman yang lebih menarik dan meninggalkan kenangan kepada pengunjung, selain meletakkan Malaysia sebagai destinasi membeli-belah utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
“Kejayaan pelancongan membeli-belah memerlukan kerjasama erat antara kerajaan dengan industri supaya kita dapat terus menyokong pusat beli-belah, peruncit, pengusaha hotel, ejen pelancongan dan pemain utama lain dalam mewujudkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh pengunjung,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man pada Majlis Makan Malam Gala Anugerah Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) di sini Selasa malam.
Tiong berkata aktiviti membeli-belah menjadi komponen penting dalam industri pelancongan Malaysia, dengan pusat beli-belah kini berkembang menjadi destinasi yang menghimpunkan elemen peruncitan, gaya hidup, budaya, makanan dan hiburan.
Beliau berkata keadaan itu membuka peluang kepada pemain industri untuk menawarkan pengalaman kepada pengunjung yang melangkaui aktiviti membeli-belah konvensional, selaras dengan matlamat kerajaan di bawah TMM 2026 untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi membeli-belah utama.
“Pelancongan membeli-belah bukan hanya mengenai apa yang dibeli oleh pengunjung tetapi pengalaman dan kenangan yang mereka cipta,” katanya.
Tiong berkata kempen jualan seperti Jualan Mega dan Jualan Akhir Tahun dapat membantu merangsang perbelanjaan pelancong dan domestik, selain memberi peluang kepada perniagaan tempatan, peruncit dan penggiat industri untuk mengetengahkan produk serta tawaran mereka.
Beliau berkata sambutan perayaan dan aktiviti kebudayaan yang dianjurkan di pusat beli-belah juga dapat membantu memperkenalkan pengunjung kepada warisan, adat resam, makanan, seni dan cara hidup masyarakat Malaysia yang kaya.
Sehubungan dengan itu, Tiong menyeru destinasi beli-belah supaya terus meningkatkan mutu perkhidmatan, kemudahan dan inovasi supaya kekal berdaya saing serta menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, Pengasas dan Penasihat PPK Datuk Ngeow Voon Yean, Presiden PPK Malaysia Phang Sau Lian dan Presiden Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (MATFA) Tan Sri Richard Koh.
Majlis makan malam gala itu mengiktiraf pencapaian dan sumbangan pusat beli-belah serta pemain industri dalam memajukan industri pusat beli-belah Malaysia menerusi Anugerah Best Experiential Marketing, Awards for Top Sustainability Practices dan PPK Malaysia Legacy Awards.
-- BERNAMA