KUCHING: Pemaju perumahan swasta yang ingin melaksanakan projek pembangunan berskala besar di Sarawak, tidak lagi diwajibkan untuk membina rumah mampu milik berkuat kuasa suku pertama tahun ini, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sebaliknya, beliau berkata pemaju yang terlibat dalam projek seluas 10 ekar atau lebih, dikehendaki membuat pembayaran gantian menerusi tabung amanah perumahan, bagi membolehkan kerajaan negeri membangunkan rumah mampu milik di tapak projek berkenaan.

"Kita laksanakan tahun ini pada suku pertama 2024... kita ubah peraturan perumahan di negeri, supaya kita kutip dana daripada syarikat itu untuk kita bangunkan rumah mampu milik yang berkualiti," katanya dalam sidang media selepas melawat tapak Projek Perumahan Penempatan Sungai Bedaun di sini, hari ini.

Abang Johari berkata undang-undang negeri sebelum ini, memperuntukkan sektor swasta melaksanakan 30 peratus daripada skim perumahan atau projek pembangunan campur, untuk membina rumah mampu milik jika tanah yang dibangunkan seluas 10 ekar (4.047 hektar) atau lebih.

"Kita akan berbincang berapa pemaju itu perlu bayar bagi setiap ekar kepada tabung amanah, (dikendalikan kerajaan negeri) ini mengikut nilai tanah dan lokasi projek itu. Contohnya 30 peratus itu melibatkan sejumlah 50 unit rumah kos rendah, jadi kita akan menilai mengikut harga pasaran," katanya.

Abang Johari berkata langkah untuk mengendalikan sendiri pembinaan projek perumahan mampu milik itu, diambil berikutan terdapat syarikat pemaju yang mengambil sikap endah tak endah dalam membangunkan projek sedemikian.

Beliau berharap dengan memberi kuasa kepada kerajaan negeri menguruskan pembinaan rumah kos rendah, isu projek perumahan terbengkalai seperti Sentoria Borneo Samariang Garden yang sepatutnya siap pada 2020, tidak lagi berlaku.

Dalam pada itu, Abang Johari memaklumkan Projek Penempatan Rumah Sungai Bedaun atau Pakej Satu yang merupakan sebahagian daripada Projek Pembangunan Darul Hana, dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya April ini, dengan harga bermula daripada RM99,500 seunit bagi keluasan rumah 750 kaki persegi.

"Penghuni rumah boleh membesarkan rumah mengikut reka bentuk standard yang telah ditetapkan Dewan Bandaraya Kuching Utara, tanpa perlu meminta kelulusan. Jadi ini macam rumah banglo dan kerajaan negeri akan membayar deposit RM10,000 dan selebihnya pemilik perlu membuat pembiayaan perumahan dengan Mutiara Mortgage dan Credit," katanya.

Berkeluasan hampir 19 hektar dan mempunyai 209 unit rumah, projek itu melibatkan keluarga tambahan dari Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan Kampung Pulo Ulu di Seberang Hilir di sini, yang terpilih untuk membeli rumah, mengikut kriteria pemilihan yang telah ditetapkan.

Abang Johari berkata projek perumahan mampu milik sedemikian, akan diperluas ke beberapa kawasan di negeri ini seperti Gedong, Kabong, Asajaya dan Santubong, dengan mengikut model dan harga unit yang sama.

-- BERNAMA