Pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di kawasan umum yang sesak dan di dalam kenderaan awam sahaja.

Demikian jelas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kekeliruan sesetengah pihak berkenaan penggunaan pelitup muka.

"Semalam tular dalam media sosial, mereka berada dalam kenderaan persendirian diambil tindakan. Kenderaan persendirian bukan kenderaan awam, kalau kita dengan keluarga, dengan rakan tempat kerja kita tahu mereka ini setiap hari jadi tidak diwajibkan memakai pelitup muka.

"Contoh di tepi pantai, jika dia seorang duduk tepi pantai, kalau ikut peraturan wajib dipakai sebab tempat awam tapi takkan nak kena saman? Sebab dia seorang tidak kena (saman) sebab tiada kesesakan.

"Begitu juga tempat awam yang bersesak, kalau tempat awam sahaja contoh seperti di padang bola antara tempat awam. Kalau ada penjarakan sosial, tidak perlu memakai pelitup muka, sebab itu kita kata tempat awam bersesak," katanya.

Jelas Ismail, seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal dapat mencegah 100 peratus daripada jangkitan COVID-19.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan saman yang telah dikenakan terhadap pemandu dan penumpang kenderaan persendirian sebelum ini oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Ismail saman itu akan dibatalkan oleh pihak polis.

Manakala, pihak yang disaman boleh mendapatkan semula bayaran yang telah dibuat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ada yang disaman kerana berada dalam kenderaan persendirian. Saya dah bincang dengan pihak polis dan KKM. PDRM akan membatalkan saman tersebut, kalau mereka dah bayar kepada KKM boleh menuntut semula bayaran itu daripada KKM.

"Jadi saya harap perkara ini tidak timbul, saya yakin PDRM boleh gunakan budi bicara di tempat awam dan sebagainya," kata beliau.