SELAYANG: Seorang lelaki tempatan bernasib baik apabila hanya mengalami kecederaan ringan selepas kenderaan dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori dalam kejadian di Jalan Templer pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera bersama enam anggota dari Balai Selayang dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 6.31 pagi.

"Setelah membuat 'size-up' didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord telah merempuh bahagian belakang sebuah lori.

"Seorang mangsa lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 50-an tersepit di bahagian tempat duduk pemandu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan selamat.

Tambahnya, mangsa berada dalam keadaan stabil dah telah diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan.

Norazam berkata, operasi pihak bomba tamat sepenuhnya pada jam 7.09 pagi.


*Berita asal di Sinar Harian