NATIONAL
Pemandu pacuan empat roda rempuh motosikal bukan pemilik kenderaan

Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri cedera setelah motosikal ditunggang dirempuh pacuan empat roda berdekatan Plaza Tol Jalan Duta pada Sabtu. - Foto tangkap layar FB Mechanic Transmission
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan pemandu pacuan empat roda yang melanggar sebuah motosikal berdekatan Plaza Tol Jalan Duta pada Sabtu bukan pemilik kenderaan terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kes bagaimanapun masih dalam siasatan.
"Polis masih menjalankan proses sambung reman ke atas suspek dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Katanya, pembonceng motosikal yang dilanggar suspek masih lagi mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh."Dua mangsa terlibat mengalami kecederaan dan wanita yang juga pembonceng masih dalam Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.
Terdahulu, tular video di media sosial seorang individu iaitu pemilik pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan terbabit tampil mendakwa dirinya bukan pemandu ketika kejadian.
Individu terbabit tampil menjelaskan situasi sebenar berikutan dakwanya terdapat beberapa hantaran yang mendedahkan identitinya iaitu melibatkan akaun Facebook miliknya di media sosial.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri cedera setelah motosikal ditunggang dirempuh pacuan empat roda berdekatan Plaza Tol Jalan Duta pada Sabtu.
Susulan itu, pemandu pacuan empat roda terbabit ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami