KUALA LUMPUR: Pemandu dan penunggang p-hailing kini boleh menikmati perkhidmatan Internet yang ditawarkan pada harga serendah RM33 dengan pelan data sekurang-kurangnya 40GB bermula hari ini hingga 23 April depan.

Pakej yang dinamakan p-Hailing Rahmah itu dirasmikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam usaha menyediakan pelan data mampu milik yang memberikan kesalinghubungan lancar yang penting bagi menjalankan urusan penghantaran harian mereka.

Pakej berkenaan merupakan kerjasama strategik antara syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi melibatkan CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM (Unifi Mobile) dan YTL Communications (Yes 5G).

Perkhidmatan itu ditawarkan kepada kesemua 16 penyedia platform p-hailing di negara ini antaranya, FoodPanda, Grab, Bungkusit, Shopee dan Lalamove bagi menghargai jasa golongan pemandu dan penunggang p-hailing.

“(Perkhidmatan) p-hailing telah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan rakyat Malaysia dengan lebih 200,00 rider.

“Ia ditakrifkan sebagai penghantaran makanan, minuman dan bungkusan menggunakan kenderaan seperti motosikal dan kereta,” katanya lagi.

Fahmi berkata, semua penunggang p-hailing yang berdaftar mempunyai pilihan untuk memilih daripada mana-mana syarikat telekomunikasi yang menawarkan liputan terbaik serta pelan yang sesai untuk membantu mereka menjalankan penghantaran setiap hari.

Kata Fahmi, usaha yang dilaksanakan itu adalah antara langkah penting kerajaan bagi membantu golongan berkenaan.

"Pengiktirafan kerajaan kepada mereka bukan semata-mata kerana kerja-kerja penghantaran yang dilakukan oleh mereka tetapi peranan penting mereka dalam menjadi tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Kerajaan sentiasa memberi sokongan dan tumpuan kepada ekonomi gig menerusi p-hailing sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu khususnya dalam menjayakan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12),” ujar beliau lagi.

Ditanya sama ada pakej itu akan dilanjutkan, beliau berkata, perkara itu berkemungkinan akan diteliti kelak.

“Kita akan buka selama beberapa bulan untuk lihat prestasi langganan, dan selepas mungkin beberapa minggu kita akan dapat maklumat terkini, mungkin selepas Tahun Baharu Cina, dan sekiranya perlu, kita akan cadangkan supaya dilanjutkan,” jelasnya.

Semalam, Fahmi berkata, Kerajaan MADANI mendengar keluhan kumpulan pekerja itu dan berharap usaha yang dilakukan kerajaan dapat meringankan kesulitan serta membantu mereka dalam menjalankan tugas setiap hari.