LUMUT: Seorang lelaki cedera akibat tersepit selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Pelabuhan Lumut, Kampung Acheh Baru, dekat sini, petang ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 5.48 petang.

Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah lori dan sebuah Proton Exora telah bertembung dan mangsa tersepit di bahagian pemandu.

“Anggota bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkannya kepada pihak ambulan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ilya Shahrin Tahrim tamat jam 7.14 malam.