Seorang pemandu van dihadapkan ke Mahkamah Majistret Khamis terhadap pertuduhan membunuh dua lelaki dalam kejadian amuk di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melati di sini, dua minggu lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Zamri Yusof, 26, didakwa membunuh penjual peralatan tulis, Lee Kah Ghee, 44 di hadapan stesen LRT Taman Melati, Persiaran Pertahanan, Wangsa Maju di sini, antara kira-kira pukul 11 pagi sehingga 12 tengah hari, 24 Okt lalu.

Muhammad Zamri juga didakwa membunuh seorang pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR), Kwan Chun Thai, 25, di tepi tiang LRT bernombor P 24/55, Kampung Wira Jaya Luar, Jalan Tumbuhan, Wangsa Maju di sini, pada waktu dan tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang kelihatan tenang mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Majistret turut memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan mental.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Dis ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa ASP Zulkifli Osman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, media melaporkan kedua-dua mangsa meninggal dunia selepas ditikam menggunakan pisau Rambo oleh tertuduh yang dipercayai penuntut ekstrem ajaran sesat.