Skip to main content

Malaysia

Mukah berpotensi raih ekonomi baharu menerusi karbon - Abang Johari

Abang Johari berucap pada Majlis Makan Malam Premier Sarawak bersama-sama KMKK Bahagian Mukah bersempena dengan Program Sarawakku Sayang pada malam Jumaat. - Foto Facebook/UKAS
Abang Johari berucap pada Majlis Makan Malam Premier Sarawak bersama-sama KMKK Bahagian Mukah bersempena dengan Program Sarawakku Sayang pada malam Jumaat. - Foto Facebook/UKAS

Advertisement

MUKAH: Bahagian Mukah berpotensi menerima manfaat daripada ekonomi karbon susulan kekayaan kawasan paya, bakau dan tanah gambutnya yang berupaya menyimpan karbon, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata perubahan ekonomi global susulan isu perubahan iklim membuka peluang baharu kepada Sarawak untuk menjadikan pemeliharaan sumber semula jadi sebagai aktiviti mampu menjana pendapatan.

Abang Johari berkata kawasan bakau mempunyai keupayaan menyerap karbon yang tinggi manakala Mukah mempunyai kawasan paya dan pesisir pantai luas yang boleh dimanfaatkan dalam ekonomi karbon.

“Ekonomi kita mesti berubah. Kita pertahankan kekayaan kita ini kerana hari ini sudah ada apa yang disebut sebagai perdagangan karbon,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Premier Sarawak bersama-sama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Mukah bersempena dengan Program Sarawakku Sayang di sini pada Jumaat malam.

Beliau berkata Sarawak telah menyediakan kerangka perundangan berkaitan pengurusan karbon bagi membolehkan negeri itu meneroka peluang dalam ekonomi baharu berkenaan.

“Hasil yang diperoleh daripada sumber ekonomi baharu akan dilaburkan semula untuk manfaat rakyat, termasuk membiayai pembangunan infrastruktur di Mukah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh kemudahan asas di bahagian itu termasuk bekalan air menerusi pembangunan Loji Rawatan Air Basong bernilai kira-kira RM240 juta yang dapat menambah kapasiti air daripada daripada 60 juta liter sehari (MLD) kepada 120 MLD bagi memenuhi keperluan rakyat.

Beliau berkata pembangunan jaringan jalan raya dan jambatan menghubungkan Mukah dengan kawasan lain turut membuka ruang lebih luas kepada kegiatan ekonomi dan meningkatkan mobiliti penduduk.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement