Aktor terkenal, Jim Carey menamatkan zaman duda selama 29 tahun apabila berkahwin dengan kekasihnya, Min Ah.
Ia menjadi perkahwinan ketiga buat bintang filem The Mask itu selepas sebelum ini pernah berkahwin dengan Melissa Womer pada 1987 (perkahwinan pertama) dan kedua yang berakhir pada 1997.
Berita perkahwinan pasangan yang pertama kali dilihat bersama pada 2022 itu disahkan oleh wakil pelawak senior itu kepada E! News.
Bagaimanapun, butiran mengenai perkahwinan ketiganya bersama Min Ah masih belum didedahkan kepada umum.
Hubungan bintang berusia 64 tahun itu dan Min Ah juga sebelum ini jarang mendapat perhatian media apabila pasangan tersebut memilih untuk merahsiakan kisah cinta mereka daripada pengetahuan umum.
Mereka hanya tampil bersama buat pertama kali di khalayak ketika menghadiri Cesar Awards 2026 pada Februari lalu.
Lebih menarik, majlis anugerah berkenaan menjadi detik pertama Jim mengesahkan hubungannya bersama Min Ah secara terbuka.
Ketika menerima Honorary Cesar Award, Carey turut mengambil kesempatan untuk memberikan penghargaan kepada insan-insan penting dalam hidupnya.
“Terima kasih kepada keluarga saya yang luar biasa, anak perempuan saya Jane dan cucu saya Jackson. Saya menyayangi kamu sekarang dan selamanya,” katanya dalam bahasa Perancis.
Pelakon Dumb and Dumber itu kemudian memberikan penghargaan istimewa buat Min Ah.
“Terima kasih kepada teman hidup saya yang luar biasa, Min Ah. Saya cintakan kamu, Min Ah,” katanya.
Dalam ucapan sama, Carey turut mengenang bapanya, Percy Joseph Carrey yang menurutnya banyak mengajarnya tentang nilai kasih sayang, kemurahan hati dan gelak tawa serta menyifatkan bapanya sebagai lelaki paling kelakar pernah dikenalinya.
Selain dua perkahwinan terdahulu, Carey turut pernah menjalin hubungan dengan beberapa selebriti terkenal termasuk Renée Zellweger dan Jenny McCarthy pada era 2000-an.
Dia kemudiannya mempunyai hubungan dengan mendiang jurusolek, Cathriona White dan pelakon Ginger Gonzaga pada 2010-an.
Menariknya, Carey sebelum ini dilaporkan pernah memberitahu pengacara radio terkenal, Howard Stern pada 2020 bahawa dia tidak menyesali mana-mana hubungan yang pernah dilaluinya.
“Saya menghargai orang yang pernah hadir dalam hidup saya kerana kebaikan yang mereka berikan kepada saya,” katanya.
Bagaimanapun, enam tahun sebelum itu, dia pernah mengakui kepada Stern tidak menjangkakan akan kembali mendirikan rumah tangga.
“Saya tidak melihatnya sebagai sesuatu yang perlu pada ketika ini. Adakah ia benar-benar sesuatu yang suci? Saya tidak tahu,” katanya pada 2014.
Dia juga mengakui dia tidak mahu membuat sebarang keputusan muktamad mengenai masa depannya sekiranya bertemu seseorang yang benar-benar membuatkan hatinya berubah.
“Saya tidak boleh mengatakan bagaimana perasaan saya sekiranya bertemu seseorang yang benar-benar membuatkan saya terpesona.
“Saya tidak boleh menetapkan peraturan yang keras mengenai masa depan, tetapi saya tidak akan memilih jalan itu secara sukarela,” katanya. - Gempak