KUALA LUMPUR: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 diharap dapat meningkatkan kemampuan mahasiswa untuk berada di persada paling hadapan dalam bidang ilmu dan profesional.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga berharap lebih ramai mahasiswa melibatkan diri pada peringkat membuat keputusan dan mampu memberikan idea baharu.
“Sebagai seorang mantan aktivis pelajar, itu harapan saya, tidak perlu dan tidak semestinya berada di jalanan, di sudut pidato atau mengadakan perarakan-perarakan yang berlainan warna baju pada setiap minggu.
“Saya amat yakin bahawa pemimpin mahasiswa dan mahasiswa keseluruhannya akan lebih berminda tinggi tanpa AUKU yang menyekat pemikiran dan minda para pelajar selama ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata beliau percaya pemansuhan AUKU juga akan memberikan lebih ruang kepada universiti dan pada masa sama perlu dimanfaatkan menerusi akauntabiliti yang diukur menerusi peningkatan mutu pembelajaran, mobiliti graduan dan impak penyelidikan.
Pada 15 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberikan kebebasan serta ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mencadangkan pembentukan Indeks Mobiliti Pendidikan Melayu bagi menjejaki perjalanan pendidikan anak bangsa, bermula daripada latar sosioekonomi, pencapaian pembelajaran, laluan pengajian kepada pekerjaan, kesepadanan kemahiran dan perkembangan pendapatan.
Beliau berkata Agenda Pendidikan Melayu selepas ini mesti dibina berpandukan data, hasil dan berasaskan bukti, dan bukannya sekadar jumlah program, peruntukan atau peserta.
"Ukuran kita mesti bergerak daripada persekolahan kepada pembelajaran, dan daripada pembelajaran kepada mobiliti … bukan hanya berapa lama seseorang berada dalam sistem, tetapi apa yang dikuasainya, ke mana ilmu itu membawanya dan sejauh mana pendidikan meningkatkan mobiliti sosialnya," katanya.
Bagi tujuan menyempurnakan penghasilan indeks itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mahu Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan UMNO bersama-sama institusi akademik membangunkan kerangka awal indeks tersebut untuk diteliti serta dibawa ke peringkat dasar.
“Saya juga memberikan amanah kepada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir selaku Pengerusi Konvensyen Pendidikan Melayu dan dibantu oleh (Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM)) Tan Sri Idris Jusoh untuk menyempurnakan cadangan ini,” katanya.
Ahmad Zahid turut menggariskan tiga cabaran pendidikan masa kini, iaitu kemiskinan ilmu dan keupayaan, pemilikan ilmu serta memastikan pendidikan benar-benar diterjemahkan kepada nilai ekonomi.
“Pada suku kedua tahun ini, 35.2 peratus pekerja berpendidikan tertiari masih berada dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kemahiran mereka,” katanya.
Bagi menangani tiga cabaran itu, beliau mencadangkan lima misi utama antaranya menjadikan UiTM sebagai universiti penguasaan bumiputera, Infrastruktur Ilmu Digital Bahasa Melayu, Autonomi Berprestasi Universiti selain sasaran Dana Wakaf Ilmu Bumiputera terkumpul sekurang-kurangnya RM1 bilion menjelang 2030.
-- BERNAMA