KUALA LUMPUR: Cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu dilihat secara menyeluruh serta disusuli dengan pembentukan kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih dinamik, moden dan bertanggungjawab bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan tinggi negara.
Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Mas Fawzi Mohd Ali berkata AUKU bukan sekadar melibatkan hal ehwal mahasiswa, sebaliknya turut menjadi kerangka perundangan yang mengawal penubuhan, tadbir urus dan pentadbiran universiti awam termasuk struktur kuasa pihak berkuasa universiti serta pengurusan institusi.
Beliau berkata sebarang perubahan terhadap akta itu perlu dilaksanakan secara terancang bagi memastikan usaha memperkukuh autonomi universiti dan mahasiswa tidak menjejaskan aspek tadbir urus, akauntabiliti serta kestabilan institusi.
"Isu utama bukan sekadar sama ada AUKU perlu dimansuhkan, tetapi bentuk kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih sesuai dengan keperluan semasa.
"Perubahan landskap pendidikan tinggi, teknologi digital, keterbukaan maklumat dan aspirasi mahasiswa menuntut sistem tadbir urus yang lebih dinamik, responsif serta berteraskan kepercayaan dan akauntabiliti," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mas Fawzi berkata kebebasan mahasiswa penting dalam membentuk pemikiran kritis, kepimpinan dan kematangan intelektual, justeru golongan itu perlu diberikan ruang untuk bersuara, mengemukakan pandangan berasaskan fakta serta terlibat dalam aktiviti sosial dan pembangunan negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kebebasan tersebut perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab, amanah dan akauntabiliti.
"Mahasiswa perlu berani bersuara dengan ilmu, kritikal berasaskan fakta, tetapi pada masa sama memahami amanah dan akauntabiliti," katanya.
Menurut beliau, autonomi mahasiswa juga merupakan sebahagian penting dalam proses pembelajaran bermakna kerana kampus berfungsi sebagai medan latihan kepimpinan, pengurusan konflik dan pembuatan keputusan secara beretika.
Beliau berkata dalam konteks itu, pemansuhan AUKU berpotensi memperluas kebebasan bersuara, mengukuhkan demokrasi kampus, menggalakkan aktivisme yang bertanggungjawab serta meningkatkan autonomi mahasiswa dan institusi.
Bagi universiti pula, katanya, kerangka perundangan yang lebih moden mampu memperkukuh autonomi institusi, mengurangkan kerenah birokrasi serta mempercepat proses membuat keputusan dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi dan kerjasama industri.
Namun, beliau menegaskan bahawa sebarang autonomi yang diperluaskan perlu disertai sistem semak dan imbang yang kukuh bagi memastikan universiti terus berfungsi secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memberi jaminan bahawa AUKU akan dimansuhkan sepenuhnya tanpa pengenalan sebarang undang-undang baharu yang bersifat mengongkong atau menekan gerakan mahasiswa.
AUKU sebelum ini telah melalui tujuh siri pindaan sejak diperkenalkan pada 1971, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luar kampus.
Pindaan terbaharu pada 2024, menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk pada kuasa Naib Canselor, sebaliknya diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.