Pemasangan CCTV di asrama dilaksana dengan penekanan privasi, keselamatan pelajar

Kah Woh berkata rakaman akan disimpan sekurang-kurangnya 30 hari dengan spesifikasi teknikal ditetapkan kementerian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama akan memberi tumpuan kepada kawalan akses dan perlindungan data bagi memastikan keselamatan serta privasi pelajar, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
Ringkasan AI
- CCTV di sekolah berasrama ditekankan untuk kawalan akses, keselamatan, dan privasi pelajar dengan rakaman disimpan sekurang-kurangnya 30 hari serta garis panduan yang jelas.
- Kerajaan memperuntuk RM3 juta untuk pemasangan CCTV di 200 sekolah dan RM5 juta tambahan untuk 333 sekolah berasrama lain demi keselamatan pelajar.
- Pendidikan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) diperkukuh dengan pelbagai inisiatif pemerkasaan termasuk peningkatan infrastruktur dan penggunaan bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) yang meminta penjelasan mengenai akses kepada rakaman CCTV, tempoh penyimpanan dan prosedur pemadaman bagi melindungi kerahsiaan pelajar.
Kah Woh berkata kerajaan menyalurkan RM3 juta bagi pemasangan CCTV di 200 sekolah, serta RM5 juta tambahan untuk melengkapkan 333 sekolah berasrama lain, dan usaha itu akan diteruskan demi keselamatan pelajar.
Mengulas perbandingan peruntukan CCTV dengan pengedaran lencana Jalur Gemilang, beliau menegaskan kedua-dua inisiatif mempunyai tujuan masing-masing dan tidak menjejaskan pelaksanaan program lain, termasuk memupuk semangat patriotisme.
Menjawab soalan asal Shahidan mengenai kaedah perolehan CCTV dan jaminan privasi pelajar, Kah Woh berkata pemasangan dilaksana secara berfasa melalui perolehan terbuka dengan sokongan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
Beliau berkata setakat ini, sebanyak 149 daripada 200 sekolah, atau 75 peratus telah siap pemasangannya, sambil menambah bahawa perolehan dibuat melalui sistem e-Perolehan oleh pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bergantung kepada keperluan setempat.
Beliau berkata CCTV dipasang di kawasan awam strategik seperti laluan utama, pintu masuk dan keluar, tangga, koridor, dewan makan, bilik prep serta kawasan terpencil, manakala bilik tidur, tandas dan ruang persalinan dikecualikan bagi menjaga privasi pelajar dengan rondaan warden diperkukuh.
Menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai penyelenggaraan dan mekanisme peruntukan, Kah Woh berkata sekolah bertanggungjawab memastikan sistem sentiasa berfungsi dan diselenggara mengikut garis panduan serta waranti minimum setahun, manakala setiap set CCTV ditetapkan harga siling RM15,000 dengan peruntukan disalurkan melalui sekolah, JPN atau PPD.
Sementara itu dalam soalan berasingan, Kah Woh berkata kementerian komited menjamin kelestarian pendidikan Tamil melalui prinsip inklusif, ekuiti dan kualiti selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan 1996 serta aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).
Beliau berkata kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) adalah terpelihara di bawah undang-undang sedia ada dengan pelbagai inisiatif pemerkasaan, termasuk penambahbaikan infrastruktur, kemudahan asas moden seperti makmal sains dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta peningkatan pembangunan profesional guru.
"Di SJKT, bahasa Tamil menjadi bahasa pengantar bagi memudahkan pemahaman konsep dan memperkukuh penguasaan bahasa ibunda... pada masa sama, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kekal sebagai mata pelajaran wajib di SJKT supaya anak-anak kita dapat menguasai bahasa kebangsaan," katanya.
Beliau menjawab soalan V Sivakumar (PH-Batu Gajah) mengenai dasar komprehensif untuk memastikan kelestarian pendidikan Tamil, termasuk pelan jangka panjang memperkukuh kurikulum, meningkatkan kemudahan sekolah serta mempertahankan kedudukan sekolah vernakular dalam kerangka Perlembagaan dan aspirasi pendidikan nasional.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


