MALAYSIA
Pematuhan garis panduan pendawaian elektrik tambahan bas dikuat kuasa awal 2026 - JPJ

Aedy Fadly berkata, langkah pencegahan susulan insiden remaja maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit di soket dalam bas ekspres. - Gambar fail
KLANG: Semua 65,520 bas berdaftar di seluruh negara diwajibkan mematuhi garis panduan pengeluaran dokumen kerja dalaman berkaitan pendawaian elektrik tambahan dalam kenderaan motor berkuat kuasa Jan 2026, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli.
Beliau berkata garis panduan itu dirangka sebagai langkah pencegahan susulan insiden seorang remaja maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit di soket dalam sebuah bas ekspres di Terminal Penang Sentral, Pulau Pinang pada Nov tahun lepas.
"Siasatan Pasukan Petugas Khas (PPK) dengan kerjasama JPJ dan beberapa agensi berkaitan termasuk Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) terhadap bas berkenaan mendapati wujud kecuaian ketika pemasangan pendawaian elektrik melibatkan arus ulang alik (AC) tanpa pengawasan individu kompeten.
"Oleh itu, JPJ telah merangka satu dokumen kerja dalaman yang dikenali sebagai Internal Work Sheet atau IWS(e) untuk dijadikan bukti pematuhan rasmi terhadap keperluan teknikal dan keselamatan pendawaian elektrik tambahan di dalam sesebuah bas," katanya pada sidang media selepas melawat kilang pembuatan badan bas Pioneer Coachbuilder Sdn Bhd di Telok Gong di sini hari ini.Aedy Fadly berkata IWS(e) mengandungi tiga komponen utama iaitu pemeriksaan am terhadap kemasan dan kekemasan pemasangan, pemeriksaan keselamatan elektrik seperti sistem perlindungan dan pembumian serta ujian fungsi bagi memastikan semua peralatan beroperasi dengan baik.
Beliau berkata penyediaan dan pengesahan dokumen itu hanya boleh dilakukan di bawah penyeliaan seorang juruteknik elektrik yang berdaftar dengan JPJ dan mempunyai kelayakan minimum Pendawai PW2 (Pendawai Fasa Tunggal dengan Endorsan Pengujian Pepasangan) yang masih sah daripada ST.
"Langkah ini bertujuan memastikan setiap pemasangan dilakukan secara profesional, selamat dan mengikut piawaian berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026 dan terpakai kepada semua kenderaan motor yang didaftarkan pada atau selepas tarikh berkenaan.
"Pemilik bas perlu mengemukakan dokumen IWS(e) semasa menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) termasuk bas binaan tempatan yang perlu mengemukakan Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (PPP) sebagai bukti bahawa pemasangan sistem elektrik telah dilakukan mengikut spesifikasi yang ditetapkan," katanya.
Aedy Fadly berkata bas yang didaftarkan sebelum 1 Jan 2026 diberikan tempoh peralihan selama setahun bagi membolehkan pemilik membuat penyesuaian dan memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap keperluan yang ditetapkan sebelum penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh bermula 1 Jan 2027.
Beliau berkata mana-mana pemilik atau pengusaha bas yang ingkar boleh dibatalkan permit kerana tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan selain boleh dikenakan tindakan lain di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat.
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mengecas telefon bimbit di soket dalam sebuah bas ekspres di Penang Sentral, Pulau Pinang.
Susulan kejadian itu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan PPK dan mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk segera menggantung operasi bas yang terlibat bagi membolehkan JPJ menjalankan siasatan lanjut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami