MALAYSIA
Pematuhan pakai tali pinggang keledar dalam bas tinggi - JPJ

Pengarah Dasar Penguatkuasaan dan Pendakwaan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia Zulkarnain Yasin turut menyertai Operasi Khas Tali Pinggang Keledar Terminal Bas Putrajaya Sentral malam ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan kadar pematuhan tinggi dalam kalangan penumpang dan pemandu bas terhadap penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar apabila hanya 305 atau 0.25 peratus daripada lebih 123,000 individu yang diperiksa dikenakan saman.
Pengarah Dasar Penguatkuasaan dan Pendakwaan JPJ Zulkarnain Yasin berkata semenjak penguatkuasaan bermula pada Selasa lepas, seramai 123,706 penumpang dan pemandu diperiksa dalam pemeriksaan terhadap 3,257 bas yang terdiri daripada 2,459 bas ekspres dan 798 bas persiaran di seluruh negara.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut, hanya 305 saman dikeluarkan yang melibatkan 238 saman kepada penumpang bas ekspres dan 43 terhadap penumpang bas persiaran manakala baki 24 saman ialah ke atas pemandu bas terlibat.
"Peratusan kepatuhan adalah amat tinggi... Alhamdulillah dan saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas kepatuhan ditunjukkan."Saya menasihatkan semua pemandu dan penumpang bas serta semua pengguna jalan raya untuk memakai tali pinggang supaya kita lebih selamat," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi pemeriksaan pematuhan bas di Putrajaya Sentral di sini malam ini.
Semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar berkuat kuasa Selasa lepas.
Penguatkuasaan itu terpakai bagi bas yang dibina selepas Januari 2020 manakala bas yang dibina sebelum itu diberi masa untuk membuat pemasangan tali keledar.
Penumpang dan pemandu yang ingkar boleh dikenakan saman sebanyak RM300 sementara pemandu dan syarikat pengendali yang gagal memberikan peringatan kepada penumpang juga boleh diambil tindakan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami