KUALA LUMPUR: Pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 seperti pemakaian pelitup muka dan mengimbas kod QR MySejahtera berada pada tahap hampir 100 peratus.

Namun, masyarakat masih sukar mematuhi dan mengamalkan penjarakan fizikal di kawasan sesak seperti Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri.

Justeru, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengingatkan masyarakat supaya mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jika gagal, katanya, PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi.

Jelasnya, setakat ini, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan 38 Unit Dron di seluruh negara dalam operasi pemantauan pematuhan SOP.

"Cabaran utama kita dalam melaksanakan pengoperasian Bazar Ramadan atau Aidilfitri ini adalah untuk mengawal penjarakan fizikal di antara para pengunjung.

"Ini adalah cabaran utama yang kita hadapi.

"Justeru di sini saya mengambil kesempatan orang ramai yang mengunjungi sama ada Bazar Ramadan atau Bazar Aidilfitri untuk pastikan bahawa di setiap masa semasa di luar sana untuk berusaha menjaga jarak fizikal supaya sekurang-kurangnya dapat membantu mencegah penularan wabak COVID-19 ini," katanya.

Beliau sebelum itu meninjau Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) melalui gajet Unit Dron PGU.

Jelasnya, jumlah pengunjung bazar Jalan TAR dijangka bertambah daripada 2,000 hingga 3,000 kepada 5,000 orang setiap hari.