Kerja-kerja pembaikan cerun dan sistem perparitan di Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur dijangka siap Oktober ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib berkata, kerja-kerja tersebut kini berada pada fasa 50 peratus siap.

"Projek ini kita mulakan 9 Mac 2015 dan dijangka siap 18 Oktober 2015. Saya yakin dengan kontraktor sedia ada ini, mereka akan akan dapat siapkan projek ini lebih awal," katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Beliau juga ada membuat tinjauan ke tapak kerja pembaikan berdekatan Mes Pegawai PDRM, di sini.

Pada Januari, cerun berdekatan Bukit Aman di Jalan Kinabalu runtuh yang menyebabkan laluan terpaksa ditutup.

Ahmad Phesal turut menegaskan DBKL akan sentiasa memantau cerun berisiko di sekitar ibu kota di bawah inisiatif Sistem Informasi Cerun Kuala Lumpur (KULSIS).

Lebih kurang 3,299 cerun kini berada dalam perhatian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan 600 daripadanya dikategorikan sebagai berisiko tinggi.

Pelbagai langkah pencegahan diambil termasuk menguatkuasakan Garispanduan Pembangunan Tanah Tinggi yang pernah diperkenalkan pada Oktober 2010.