Kesepakatan pembangkang untuk melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri adalah satu lagi drama besar yang cuba dimainkan oleh pakatan berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu sangat menghairankan kerana suatu ketika dahulu, mereka duduk bersama-sama dengan satu matlamat untuk menjatuhkan Dr Mahathir dengan melancarkan gerakan reformasi.

Tetapi, kata beliau, hari ini satu lagi gerakan besar yang boleh dinamakan gerakan reformasi 2.0 untuk menaikkan semula Dr Mahathir dengan menjilat segala tohmahan yang pernah dilemparkan kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Di peringkat awal gerakan mereka ternyata dengan segala macam kebencian, ayat-ayat yang dilontarkan kepada Tun M itu tidak dapat kita gambarkan dalam bahasa politik. Dalam keadaan kehidupan kita, dengan bahasa yang terlalu pedih, terlalu hina digunakan, termasuklah Maha Firaun dan sebagainya atas nama gerakan reformasi mereka.

“Tetapi pada hari ini, atas nama gerakan reformasi juga, orang yang menjadi musuh nombor satu mereka itu diangkat dan digerakkan bagi tujuan untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di sini, hari ini.

Ahad lalu, pakatan pembangkang menyatakan kesediaan memilih Tun Mahathir dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di Konvensyen Pakatan Harapan Ke-2 yang berlangsung di Shah Alam.

Pakatan pembangkang itu juga mengumumkan akan bertanding 165 kerusi di Semenanjung Malaysia dengan PPBM 52 kerusi, PKR 51 kerusi , DAP 35 kerusi dan Amanah 27 kerusi.

Dr Zambry berpendapat, dari segi agihan kerusi dalam kalangan pembangkang pula, ia dilihat lebih menguntungkan DAP kerana mereka merupakan penyandang di hampir semua 35 kerusi itu.

“Dalam erti kata lain, daripada 35 kerusi di Semenanjung sahaja, tidak campur di Sabah dan Sarawak, jadi jumlah sebenar yang mungkin dapat keuntungan paling besar ialah DAP," katanya sambil tidak menolak kemungkinan DAP akan terus menjadi dominan dalam kalangan pakatan itu.