IPOH: Pengekalan seni warisan sedia ada akan menjadi fokus utama dalam membangunkan Pekan Lama Ipoh sebagai antara produk pelancongan warisan negeri ini.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata proses pembangunan lokasi itu sedang dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap menjelang 2025.

"Pekan Lama Ipoh ini telah digazetkan sebagai kawasan warisan dan seiring dengan langkah berkenaan kita berpendapat bahawa sebarang pembangunan yang dijalankan mesti mengekalkan warisan sedia ada.

"Perkara ini juga penting dalam memastikan setiap nilai sejarah dan warisan yang ada di Pekan Ipoh kekal terpelihara dan menjadi daya penarik kepada para pelancong," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Bazar Chinese New Year (CNY) di Lorong Seni@Lorong Panglima di sini.

Perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee di sini hari ini.

Rumaizi berkata sebahagian besar peruntukan bagi membangunkan lokasi berkenaan diperoleh menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) selain dibantu dengan suntikan dana berjumlah RM20 juta daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilaporkan merancang untuk meningkatkan prasarana sekitar Ipoh termasuk parkir bertingkat dan pasar awam sebagai sebahagian pelan pembangunan jangka panjang.

Antara tarikan pelancong di Pekan Lama Ipoh termasuk Concubine Lane dan Kong Heng Square.

-- BERNAMA