IPOH: Seorang pembantu kedai didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas tuduhan membunuh teman wanitanya di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon, minggu lalu.

Tertuduh Saini Irwandy Sofian Sani, 23, mengangguk faham apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana ia melibatkan kes bunuh yang merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Shahwani Abdullah, 24.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 1 sebuah rumah kedai di Taman Song Choon, Ipoh antara jam 5 petang Sabtu hingga 4.54 pagi Ahad lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302  Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. M Moganaraj Mithra manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahad lalu, media melaporkan seorang wanita maut dipercayai dipukul teman lelaki dalam kejadian bergaduhan di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati seorang perempuan berumur 24 tahun berada dalam keadaan tidak sedar diri terbaring di atas katil.

Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati teman lelaki mangsa positif dadah jenis Methamphetamine.