Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pembatalan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan diwartakan

EXCO N9 BATAL WARTA
Menurut warta itu, kesemua mereka telah mengangkat serta menandatangani sumpah dan ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos lepas sebelum mengambil tempat sebagai Exco Negeri Sembilan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan telah diwartakan pada Khamis.

Warta bertarikh 24 September itu menyatakan, pelantikan ahli-ahli Exco tersebut dibatalkan berkuat kuasa 20 September oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengikut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Exco tersebut ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Menurut warta itu, kesemua mereka telah mengangkat serta menandatangani sumpah dan ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos lepas sebelum mengambil tempat sebagai Exco Negeri Sembilan.

"Dan bahawasanya memandangkan kalian telah melanggar ikrar taat setia tersebut maka, beta dengan ini menarik balik perkenan beta dan membatalkan pelantikan kalian sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan,” titah baginda dalam warta berkenaan.

Warta itu juga memaklumkan berdasarkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Exco selain daripada Menteri Besar memegang jawatannya selama diperkenan oleh Tuanku Muhriz. 

Pada 20 September, pihak Istana Negeri Sembilan mengumumkan bahawa Tuanku Muhriz telah membatalkan pelantikan semua Exco berkenaan, berkuat kuasa serta-merta.

Must Watch Video

Advertisement