SEMPORNA: Pembelajaran murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mabul diperkasakan menerusi Program HASiL Kasih Prihatin 2022 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL).

Menerusi program itu, dua unit komputer riba, kipas industri, seunit mesin cetak, projektor, papan tanda baharu nama sekolah dan 10 kotak kertas A4 telah diserahkan sebagai usaha membantu menaik taraf
kemudahan pembelajaran di sekolah berkenaan.

"Turut disumbangkan oleh HASiL ialah 250 unit beg sekolah baharu dan 300 pek makanan untuk dimanfaatkan oleh semua murid dan guru di sekolah tersebut.


"Program tanggungjawab sosial (CSR) HASiL pada kali ini menumpukan kepada tiga aktiviti utama iaitu CSR Marin yang memberi fokus kepada kelestarian hidupan laut, CSR Komuniti yang menyasarkan kesejahteraan komuniti setempat dan CSR SK Mabul yang berorientasikan pembangunan pembelajaran murid," menurut LHDN dalam dalam satu kenyataan pada Khamis.

Program ini antara lain  membuktikan bahawa peranan dan tanggungjawab Keluarga HASiL tidak hanya terhad kepada mentadbir cukai langsung semata-mata, sebaliknya HASiL turut berperanan membantu masyarakat menerusi program kesedaran dan pendidikan sekali gus mampu memberi kesan kepada peningkatan pematuhan cukai secara sukarela di negara ini.

"Pelaksanaan serta penganjuran berterusan program seperti ini merupakan tanda sokongan padu HASiL kepada pembangunan modal insan termasuk kepada masyarakat luar bandar dan ia juga merupakan salah satu pendekatan strategik HASiL dalam mendekatkan diri kepada masyarakat," tambah kenyataan itu.