Pembiayaan PTPK diperluas, kerajaan perkenal Sijil Pakar TVET - Steven Sim

Sim turut mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Sijil Pakar Malaysia sebagai pengiktirafan rasmi kepada pakar-pakar kemahiran negara. - Gambar hiasan/BERNAMA
BANGI: Pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) kini diperluas merangkumi kursus antarabangsa serta program yang dikendalikan badan pengawal selia industri, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Ringkasan AI
- Pembiayaan PTPK diperluas untuk kursus antarabangsa dan program industri, memberi fokus kepada kemahiran global yang diperlukan oleh sektor teknikal yang pesat berkembang.
- Langkah penting ini membolehkan lebih banyak individu mendapat akses kepada latihan dalam bidang kritikal yang sesuai dengan teknologi terkini, meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET.
- Pengenalan Sijil Pakar Malaysia bagi pakar kemahiran negara turut diperkenalkan untuk memperkukuh profesionalisme tenaga mahir, memberi pengiktirafan rasmi dan peluang pekerjaan yang lebih baik.
"Kita juga memperluaskan pendanaan dan pembiayaan pembangunan kemahiran melalui PTPK, supaya ia tidak hanya terhad kepada kursus sedia ada oleh penyedia latihan konvensional.
"Tetapi turut merangkumi kursus antarabangsa serta kursus daripada regulator seperti Suruhanjaya Tenaga," katanya kepada media selepas Majlis Anugerah Wira WorldSkills Malaysia 2025 di sini pada Isnin.
Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Sim berkata langkah itu penting kerana banyak sektor mewajibkan sijil regulator sebelum tenaga mahir dibenarkan beroperasi, menjadikan kursus sedemikian semakin relevan dan meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET.
Menurutnya, pengiktirafan terhadap kursus regulator dan pensijilan antarabangsa turut menunjukkan bahawa skim pembiayaan kerajaan kini lebih responsif terhadap kehendak industri, termasuk keperluan tenaga mahir yang mampu mengikuti perubahan teknologi baharu.
"Peluasan ini juga membolehkan lebih ramai belia, pekerja dan penyedia latihan baharu memanfaatkan peluang peningkatan kemahiran tanpa kekangan kewangan atau batasan bidang latihan yang terlalu rigid," katanya.
Sementara itu, dalam usaha memperkukuh profesionalisme dan laluan kerjaya tenaga mahir, Sim turut mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Sijil Pakar Malaysia sebagai pengiktirafan rasmi kepada pakar-pakar kemahiran negara.
"Tiga tahap baharu iaitu pakar kemahiran, pakar kemahiran kanan dan perunding kemahiran akan diperkenalkan supaya golongan mahir ini turut menerima pengiktirafan rasmi daripada kerajaan dan industri, seterusnya memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata pengenalan pensijilan tersebut akan menyokong pembangunan ekosistem TVET yang bukan sahaja melahirkan tenaga mahir, tetapi turut menghargai pakar tempatan yang berupaya memimpin inovasi dan latihan di peringkat nasional serta antarabangsa.
Menurutnya, usaha pembaharuan itu selari dengan mandat kerajaan untuk memodenkan TVET serta memastikan Malaysia membina tenaga kerja yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menyertai pasaran global.
"Ini adalah sebahagian daripada pembaharuan menyeluruh ekosistem TVET negara yang sedang dilaksanakan. Kita mahu memastikan setiap rakyat mempunyai laluan latihan yang lebih luas, fleksibel dan relevan dengan keperluan semasa," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


