Keputusan kerajaan membina empat buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) di China tidak akan membawa impak negatif kepada rundingan berkaitan pemindahan teknologi dan pengetahuan antara negara itu dan Malaysia.

Sebaliknya, pemindahan teknologi dan pengetahuan itu, kata Kementerian Pertahanan, meliputi bidang Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) dan sokongan logistik walaupun pembinaan keempat-empat LMS itu dilaksanakan di China.

Menurut Kementerian Pertahanan juga, China bersetuju untuk melaksanakan program pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada Malaysia menerusi Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dan syarikat vendor yang dikenal pasti.

“Perkara ini dapat mendukung keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam menyelenggara dan membaik pulih aset strategik negara dan pada masa yang sama mengurangkan kebergantungan kita terhadap negara luar.

“Perlu ditekankan bahawa kontrak perolehan yang ditandatangani ini adalah antara kerajaan Malaysia dan BNS.

“Walaupun LMS dibuat di China, Malaysia tidak akan kehilangan kerja-kerja berkemahiran tinggi kerana pihak BNS memastikan bahawa kemahiran tersebut kekal di BNS,” kata kementerian itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Tambah kenyataan itu lagi, jika terdapat keperluan, pekerja berkemahiran tinggi dari BNS boleh mendalami ilmu masing-masing menerusi pemindahan teknologi dan penempatan kerja.

“Kaedah ini boleh memastikan negara mendapat kelebihan kepada peningkatan kerjaya dalam bidang-bidang kemahiran tinggi.

“Di samping itu, BNS juga masih mendapat peluang dan manfaat melalui projek pembinaan LCS yang sedang dibina di Lumut, Perak,” jelas kementerian itu lagi.

Sementara itu, Kontrak Perolehan empat buah kapal LMS antara kerajaan Malaysia dan syarikat BNS telah ditandatangani pada 23 Mac 2017.

Kontrak bernilai RM1.048 bilion itu akan dilaksanakan dalam tempoh empat tahun bermula pada 2017 sehingga 2021.

Perancangan asal ialah pembinaan dua unit LMS dilakukan di negara China manakala dua buah lagi dibina di Malaysia oleh BNS.

Namun, mengambil kira situasi kewangan semasa negara dan bagi melaksanakan langkah penjimatan, kerajaan pada Oktober 2018 telah bersetuju untuk keempat-empat unit LMS ini dibina di China.