BINTULU: Projek pembinaan Kompleks Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Bintulu, yang sebelum ini dikategorikan sebagai projek sakit kini diteruskan kembali selepas melalui proses tender semula.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata projek bernilai RM17.77 juta itu telah dianugerahkan kepada Laras Jaya Construction Sdn Bhd melalui tender terbuka, dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.
Advertisement
“Projek ini sebenarnya bermula pada Sept 2020 dan sepatutnya siap pada Sept 2022, namun kemajuan fizikal ketika itu hanya mencapai 44.1 peratus, walaupun sembilan lanjutan masa (EOT) telah diberikan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) projek berkenaan di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintulu, hari ini.
Beliau berkata notis ingkar telah dikeluarkan pada 25 Mei 2023 sebelum kontrak dengan kontraktor asal ditamatkan secara rasmi pada 4 Dis 2023.
Teo berkata kerja pembinaan kini disambung kembali selepas projek berkenaan ditender semula, dan sebahagian struktur yang tidak lagi selamat akan dirobohkan sebelum dibina semula oleh kontraktor baharu.
“Sebahagian bangunan telah siap dan boleh disambung pembinaannya, namun terdapat juga bahagian yang perlu dirobohkan kerana tidak lagi sesuai atau selamat digunakan selepas projek terbengkalai sejak 2023,” katanya.
Beliau berkata kementerian berharap projek itu dapat disiapkan mengikut jadual bagi membolehkan warga RTM Bintulu menggunakan kompleks baharu berkenaan dalam tempoh ditetapkan.
Pada majlis sama, dua lagi projek pembangunan RTM di Sarawak turut menerima SST, iaitu pembinaan kuarters RTM di Sri Aman dan Sibu.
Projek pembinaan kuarters RTM Sri Aman bernilai hampir RM9.99 juta dianugerahkan kepada Dema Tega Sdn Bhd, manakala projek pembinaan kuarters RTM Sibu bernilai RM8.87 juta diberikan kepada Crest Engineering Sdn Bhd.
Teo berkata kedua-dua projek kuarters itu masing-masing melibatkan pembinaan 16 unit kediaman, iaitu lapan unit kuarters Kelas F, dan lapan unit Kelas G bagi meningkatkan kemudahan perumahan petugas RTM.
Beliau berkata ketiga-tiga kontrak projek berkenaan bermula pada 4 Feb lepas dan dijangka siap pada atau sebelum 3 Ogos 2027.
Selain itu, beliau berkata kementerian merancang dua lagi projek pembangunan di Sarawak, yang kini pada peringkat akhir proses tender terbuka.
Satu daripadanya ialah projek pembinaan kuarters petugas RTM Limbang yang dijangka menelan kos kira-kira RM11.8 juta, dan akan menerima SST sebelum pertengahan tahun ini.
“Selain itu terdapat juga projek pembinaan bangunan tambahan bagi Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak untuk memperluas ruang operasi bagi aktiviti penerangan dan komunikasi strategik peringkat negeri,” katanya.
Teo berkata pelaksanaan lima projek pembangunan di bawah Kementerian Komunikasi di Sarawak itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan penyampaian maklumat, serta infrastruktur penyiaran digital berada pada tahap optimum.
-- BERNAMA