PAPAR: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan Jabatan Air dan Jetama Sdn Bhd membina water intake kedua bagi menyokong Loji Rawatan Air (LRA) Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) di Kampung Limbahau di sini.

Beliau berkata pembinaan itu dicadangkan di Kampung Kabang yang terletak di hulu Sungai Papar bagi mengelakkan penerobosan air masin berulang sehingga memaksa penutupan sepenuhnya LRA EWSS.

"Cadangan water intake kedua di Kampung Kabang akan dapat menyelesaikan isu kemasinan yang tinggi di water intake pertama di Kampung Limbahau," katanya kepada pemberita selepas melawat LRA EWSS Limbahau dekat sini hari ini.

Baru-baru ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar mencadangkan pembinaan water intake kedua itu yang paling berdaya maju sebagai alternatif untuk mendapatkan bekalan air mentah apabila water intake sedia ada bermasalah.

Ketua Menteri turut diberi taklimat oleh Jurutera Air Daerah Afiq Abqari Nain bahawa tahap kemasinan di LRA EWSS Limbahau melebihi 4,000 miligram seliter (mg/L) melebihi standard maksimum iaitu 120 (mg/L).

Air masin mengalir sejauh 13km ke Sungai Papar melebihi water intake LRA EWSS Limbahau iaitu kira-kira 8km dari muara Sungai Papar.

Hajiji turut dimaklumkan bahawa penutupan sepenuhnya operasi LRA EWSS Limbahau dan dua loji air lain di Papar iaitu Jetama dan Kogopon sejak 17 Feb lepas telah mengakibatkan penurunan pengeluaran kepada 35 juta liter sehari (JLH) berbanding kapasiti penuh sebanyak 63 JLH.

"Saya datang ke sini hari ini untuk melihat keadaan sebenar di Papar yang memerlukan tindakan bersepadu daripada semua agensi berkaitan. Berdasarkan taklimat Pegawai Daerah, Jurutera Daerah dan Pengarah I Air Negeri saya lihat tindakan sudah diambil untuk mengurangkan beban rakyat.

"Penting untuk kita melakukan segala yang termampu bagi membantu rakyat," katanya.

Ketua Menteri turut dimaklumkan bahawa penutupan EWSS dan kemarau berpanjangan mengakibatkan kekurangan air yang kritikal dan menjejaskan kira-kira 150,000 penduduk di daerah itu.

Hajiji berkata Pejabat Daerah telah menggerakkan lori tangki untuk mengagihkan air secara terus kepada penduduk terjejas selain menyediakan empat tangki statik manakala bekalan air juga boleh didapati di ibu pejabat Jabatan Air Daerah.

"Saya harap penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki akan diteruskan dan jika perlu kerajaan negeri akan membayar bil air tambahan," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata usaha untuk pembenihan awan di kawasan tadahan air sedang dipertimbangkan dan bergantung kepada awan yang sesuai.

Sementara itu Pengarah Jabatan Air Suhaimi Asbullah berkata pengeluaran air di seluruh negeri menurun kepada 1,466.29 JLH berbanding pengeluaran biasa 1,534 JLH berikutan penutupan LRA Limbahau EWSS dan LRA Sebatik.

-- BERNAMA