GOPENG: Pemborong di sini mengakui terpaksa mencatu bekalan telur ayam bagi memenuhi permintaan orang ramai.

Seorang pemborong telur ayam, Adnan Azizi Zainal Abidin berkata, langkah itu terpaksa dilakukan susulan stok daripada pembekal amat berkurangan berbanding sebelum ini.

Menurutnya, ketika ini hanya sekitar 3,000 hingga 9,000 biji telur sehari yang diberikan pembekal berbanding sebelum ini sebanyak 27,000 hingga 30,000 sehari daripada tiga pembekal.

"Permintaan daripada orang ramai terutama peniaga memang tinggi, tapi kami terpaksa kurangkan jumlah telur ayam supaya lebih ramai boleh dapat.

"Pembekal maklum punca kekurangan telur disebabkan ayam banyak mati akibat penyakit selain kekurangan pekerja dan harga makanan ayam yang mahal.

"Masalah kekurangan telur ayam ini berlaku sejak bulan lalu. Kalau ada jualan seperti Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM), kita hadkan satu papan telur (30 biji) hanya untuk seorang sahaja pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada PJKM dan Program Jualan Terus Dari Ladang di pekarangan Hentian Rehat dan Rawat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini pada Sabtu.

BACA: Putus bekalan, terpaksa bawa pulang telur ayam dari KL ke kampung

BACA: Faktor cuaca tidak menentu antara punca pengeluaran telur ayam berkurangan 

BACA: Kos makanan punca harga telur ayam di Perak meningkat 

Program itu turut dihadiri Pegawai Daerah Kampar, Khairul Anwar Ramli dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak, Noorsham Ramly.

Sementara itu, peniaga kedai runcit, Mohamed Arib Aliah berkata, kedainya terpaksa menghentikan jualan telur ayam pada minggu ini.

Menurutnya, sebelum ini dia mampu menjual 600 biji telur dalam sehari, namun kini mengambil keputusan menangguh sementara penjualan telur ayam walaupun permintaan tinggi.

"Kita dapat maklumat kekurangan telur ini disebabkan keadaan ayam itu sendiri. Jadi saya mahu isu-isu ini diselesaikan dahulu, barulah kedai saya jual telur ayam semula.

"Walaupun permintaan banyak, saya tidak berani ambil stok sebab takut ada masalah nanti. Harap masalah ini dapat diselesaikan segera," katanya.

Peniaga kedai makan, Norhayati Abd Hamid pula berkata, kekurangan telur ayam di pasaran agak merisaukan bukan sahaja dari segi bekalan tetapi harga.

Menurutnya, walaupun masih boleh mendapatkan telur ayam, namun peningkatan harga menyebabkan perniagaannya sedikit terkesan.

"Saya guna 60 biji telur setiap hari dan buat masa ini, masih ada kedai runcit yang menjualnya tapi harganya sudah naik.

"Cuma kalau selepas ini telur makin kurang, peniaga macam saya susah sikit hendak dapatkan bekalan dan terpaksa fikir alternatif lain," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Seksyen Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, R Magendran berkata, PJKM antara usaha yang dilakukan bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan keperluan termasuk telur ayam pada harga berpatutan.

Menurutnya, sehingga kini di Perak sebanyak 61 PJKM telah dilaksanakan melibatkan 24 kawasan Parlimen dengan nilai jualan mencecah RM285,000.

Katanya, hampir 20,000 pengunjung menerima manfaat hasil pelaksanaan program tersebut yang dijangka akan dianjurkan sebanyak dua kali setiap bulan di setiap kawasan Parlimen di negeri ini.

Pada Selasa, media melaporkan bekalan telur ayam pelbagai gred di negara ini berdepan masalah bukan sahaja semakin berkurangan tetapi terdapat pasar raya serta kedai runcit yang kehabisan stok barangan tersebut.


*Berita asal di Sinar Harian