KUALA LUMPUR: Pembubaran Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) tidak mendatangkan kesan negatif kepada operasi penguatkuasaan pengawalan sempadan negara pada masa ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata kesemua fungsi Aksem diserapkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Beliau berkata punca kuasa yang termaktub di dalam Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017 (Akta 799) akan diteruskan dan dikuat kuasa oleh akta-akta sedia ada seperti Akta Polis 1967, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kastam 1967 dan lain-lain perundangan yang sedang berkuat kuasa.

"Bagi memastikan tujuan penubuhan Akta 799 berkaitan kepentingan penyelarasan tindakan kawalan sempadan terus dikekalkan, fungsi-fungsi Jawatankuasa Peringkat Tertinggi dan Jawatankuasa Penyelaras yang termaktub di bawah akta ini akan dilaksanakan Jawatankuasa Pemantapan Kawalan Sempadan Negara dan Jawatankuasa Penyelarasan Kawalan Sempadan Negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-undang Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ismail berkata dengan pemansuhan Akta 799 dan penyerapan sepenuhnya fungsi Aksem kepada PDRM, Ketua Polis Negara akan mempunyai perintah dan kawalan ke atas penugasan kawalan sempadan.

"Ini akan memberikan impak positif dalam keberkesanan pengoperasian di kawasan sempadan darat dan segala perancangan akan diatur gerak dengan lebih efisien dan tersusun," katanya.

Menurutnya Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 12 Mac tahun lepas menimbangkan Memorandum Menteri Dalam Negeri No. M120/2021 dan antara lain mengambil maklum bahawa Akta 799 akan dimansuhkan setelah AKSEM diletak di bawah PDRM sepenuhnya.

-- BERNAMA