Pengerusi Gerakan Pertahankan Kedaulatan Perlembagaan Tun Mohammed Hanif Omar berpendapat pembubaran Parlimen bukan jalan penyelesaian terbaik kepada kemelut politik negara ketika ini.

Ini kerana, katanya, negara masih belum mencapai tahap ancaman darurat sehingga langkah pembubaran Parlimen perlu diambil.

“Tak perlu. Masih ada ruang untuk itu. Cuma, sekiranya keadaan sekarang berlanjutan, ia akan memberi implikasi kepada keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan satu memorandum kepada wakil Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kol (B) Datuk Nazim Mohd Alim di Istana Negara, hari ini.

BACA: Agong ada kuasa tangguh, bubar Parlimen - Peguam

BACA: 'Serah balik mandat pada rakyat!' - Pas gesa bubar Parlimen selesai kecelaruan politik

Mohammed Hanif mengetuai penyerahan memorandum dari beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, bersama Ketua Bahagian Kluster Keselamatan, Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPMM) Tan Sri Musa Hassan dan bekas presiden Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Mereka dilihat memasuki Istana Negara melalui Pintu 3 pada pukul 9.48 pagi dan keluar kira-kira 20 minit kemudian.

Kira-kira 50 wakil NGO termasuk dari Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) turut hadir memberi sokongan.

Wakil NGO tersebut dilihat memasuki Istana Negara melalui Pintu 3 pagi ini dan keluar kira-kira 20 minit kemudian. - Astro AWANI

BACA: Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja diharap rungkai kemelut politik negara

Mohammed Hanif bagaimanapun enggan mendedahkan kandungan memorandum satu muka itu, dengan alasan perkara itu hanya untuk perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Diminta mengulas mengenai kemungkinan penubuhan kerajaan campuran, beliau berkata, sebuah jentera pentadbiran kerajaan perlu ada parti pembangkang bagi proses semak dan imbang dalam memastikan negara bebas daripada sebarang salah laku.

Pun begitu katanya, perkara itu terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong.