PETALING JAYA: Sebuah stor yang terletak kira-kira 50 meter berhampiran Apartment Idaman, di sini hari ini menjadi tumpuan dalam siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang memasuki hari keempat.

Menurut pemilik stor berkenaan, Noraini Ahmad, 51, pihak forensik meminta dia untuk membuka stor tersebut sekitar pukul 10 pagi tadi, sebelum siasatan dipercayai selesai sekitar jam 2.20 petang.

Suri rumah itu menambah, dia dan suaminya, Zamri Jaafar, 53, memberikan kerjasama sepenuhnya, dan tidak mengesyaki sebarang yang mencurigakan.

“Saya hari-hari masuk dalam stor itu. Stor ini memang berkunci dan dijadikan tempat penyimpanan motosikal.

“Anjing (unit pengesan) dilihat masuk dalam itu. Saya simpan enam buah motosikal dalam stor tersebut, barang khemah serta kerusi,” katanya ketika ditemui media di pekarangan apartment tersebut di sini pada Ahad.

Dia yang sudah lebih 25 tahun menetap di apartment tersebut bagaimanapun mengakui terkejut apabila diarahkan oleh polis untuk membuka stor yang berkeluasan 30x20 kaki persegi.

"Kami tak takut. Sebab polis beritahu tadi tiada apa-apa.

“Ini (polis masuk stor) hanya untuk lengkapkan siasatan sahaja.

“Kali kedua buka, anjing masuk tetapi tidak ‘menggelupur’ (tidak beri tindak balas),” ceritanya.

Berkongsi lagi, Noraini berkata dia diminta oleh pihak polis agar tidak mengubah apa-apa peralatan yang berada di dalam stor berkenaan.

Ditanya mengenai Allahyarham Zayn Rayyan, ibu kepada lima cahaya itu berkata dia dan suaminya secara peribadi tidak mengenali kanak-kanak terbabit.

Ujarnya, cerita mengenai kanak-kanak malang itu hanya diketahui sejak insiden kehilangannya pada Selasa lalu.

“Kami antara yang terlibat dalam pencarian dia.

“Sekitar dalam 300 orang mencari mangsa. Kami bergerak ke setiap blok,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan seramai 20 individu, termasuk ibu bapa Zayn Rayyan telah memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan di saliran air berdekatan takungan air yang terletak 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam Rabu lalu.