IPOH:Pemergian Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman adalah satu kehilangan besar buat rakyat di negeri Perak dan Parlimen Gerik khususnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat di kawasan Gerik sepanjang khidmat beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor dan Ketua UMNO Bahagian Gerik, seterusnya sebagai Ahli Parlimen Gerik.

Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai berita yang amat mengejutkan.

“Bagi pihak seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri dan rakyat Perak, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.

“Kita doakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dikumpulkan bersama hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga.

BACA: 'Pemergian Allahyarham Hasbullah satu kehilangan besar bagi saya' - PM

BACA: Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman meninggal dunia

“Semoga ahli keluarga dan kerabat yang dicintai Allahyarham tabah menghadapi ujian yang berat ini,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Allahyarham Hasbullah, 63 dilaporkan meninggal dunia di Hospital Raub, Pahang kira-kira jam 7 malam Isnin akibat sakit jantung.

Perkara tersebut disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor, Salbiah Mohamed.


Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Datuk Aznel Ibrahim yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik berkata, beliau sedang menguruskan jenazah Allahyarham untuk dibawa pulang ke Gerik.

Menurutnya, jenazah akan dibawa balik ke Gerik kira-kira jam 5 pagi esok dan disembahyangkan di Masjid Jamek Gerik, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gerik sebelum solat Zohor.