KUALA LUMPUR: Zaman persekolahan antara memori yang terbaik untuk majoriti kita semua. Dan memori itu tidak ketinggalan mewarnai kehidupan awal Datuk Seri Nazir Tun Razak, malah kekal terpahat dalam minda beliau sehingga ke hari ini.

Melalui perkongsian terbaharu di akaun Instagram miliknya, anak kepada bekas Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak itu, berkongsikan sekeping gambar lama, tentang bagaimana beliau diarak oleh rakan-rakannya di Sekolah Kebangsaan (SK) St John pada tahun 1976.

Nazir berkata, gambar bertarikh 20 Januari 1976 itu merupakan hari pertama beliau kembali ke sekolah, selepas kematian ayahandanya enam hari sebelum itu, ekoran leukemia.

“Terima kasih New Straits Times kerana berkongsikan set negatif foto bertarikh 20 Januari, 1976. Rupa-rupanya ia merupakan foto yang diambil ketika hari pertama saya kembali ke SK St John, selepas ayah saya meninggal dunia.

“Rakan-rakan saya tidak mengetahui bagaimana cara untuk menenangkan saya, tetapi akhirnya memutuskan untuk mengangkat saya mengeliling dewan sekolah. Nampak macam berjaya,” katanya lagi.




Gambar yang Nazir kongsikan menunjukkan bagaimana beliau berasa girang dan teruja kerana diarak oleh rakan-rakannya yang berbilang bangsa dan agama, selepas mereka mengetahui berita pemergian Tun Abdul Razak.

Nazir berkata, beliau ingin sekali mengetahui di mana mereka berada, dan apa yang sedang mereka lakukan ketika ini.