KUALA LUMPUR: Hospital mengesahkan pemeriksaan ke atas salah seorang daripada dua beradik yang didakwa dicabul dan diliwat oleh seorang individu di sebuah hotel di Jalan Sultan, di sini selepas dikurung baru-baru mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal yang menjurus kepada perbuatan liwat.

Justeru itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid memberitahu, siasatan kes itu kini dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual.

"Siasatan lanjut yang dilakukan mendapati suspek melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan mencabul remaja berkenaan.

"Jadi kita telah rujuk kertas siasatan kepada pihak pendakwaan dan suspek yang ditahan pada 12 Januari lalu itu akan dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii dengan sengaja dan tanpa kerelaan mangsa.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara lima sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan jika disabit kesalahan.

Bagaimanapun siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual dikekalkan.

Sebelum ini, polis menahan reman seorang lelaki selama tujuh hari selepas menerima laporan daripada seorang remaja yang dia dicabul dan diliwat selepas dikatakan dikurung selepas keluar dari kediamannya di Taman Bernam Jaya, Selangor pada 1 Januari lalu.

Polis turut menegaskan, dalam siasatan kes itu pihak polis mendapati remaja lelaki tersebut bukan diculik sebagaimana dilaporkan.

Sebaliknya mangsa juga dikatakan 'bermalam' selama 10 hari bersama suspek yang berusia 42 tahun di hotel berkenaan.

Bagaimanapun, remaja itu dikatakan berjaya melarikan diri sebelum ditemukan dalam keadaan tidak bermaya di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni, pada 11 Januari lalu.