Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin akan mempertahankan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Kinabatangan dan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan kali ini.

Menurut beliau keputusannya itu mendapat sokongan daripada pemimpin di peringkat bahagian itu bagi memastikan masyarakat khususnya di daerah ini mendapat manfaat daripada kesinambungan perjuangannya.

"Ia juga bagi memastikan suara rakyat di negeri ini akan terus didengar oleh pemimpin Umno pusat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Umno Bahagian Kinabatangan di sini, hari ini.

Bung Moktar, 54, memegang jawatan Ketua Bahagian Umno Kinabatangan sejak 1996 dan anggota MT sejak 2009.

Sementara itu, di KEPALA BATAS, Anggota Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menawarkan diri bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan parti Oktober ini.

Ketua Penerangan Pemuda Umno itu berkata beliau membuat keputusan tersebut selepas mendapat sokongan dan dorongan dari pelbagai pihak terutama Pergerakan Pemuda.

"Memang sebelum ini saya tidak pernah membuat sebarang keputusan sama ada untuk bertanding sebagai anggota MT atau tidak...tetapi semalam Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin mengumumkan untuk mencalonkan empat pemimpin utama sayap parti untuk bertanding MT, jadi hari ini saya buat keputusan untuk menawarkan diri (bertanding).

"Keputusan saya ini (bertanding) juga adalah salah satu usaha untuk meremajakan dan menyahut pelan transformasi oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam kerajaan serta Umno," katanya kepada pemberita hari ini.