ALOR SETAR: Perwakilan UMNO diingatkan untuk membuat pilihan yang terbaik dengan memilih calon yang tidak mempunyai agenda bagi mewujudkan kabilah atau kumpulan yang berlainan di dalam parti itu pada pemilihan yang diadakan pada 11 dan 18 Mac depan.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tindakan itu adalah bagi memastikan pengukuhan di dalam UMNO dapat dilakukan selain melaksanakan agenda menyatukan semula parti.


Tambahnya, calon-calon yang bertanding juga perlu berada dalam satu pasukan dalam mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang turut disertai UMNO ketika ini.

"Dalam menentukan (siapa yang dipilih pada) pemilihan yang akan datang ini, biarpun kita meraikan kelainan pendapat, parti tidak lagi mampu untuk mempunyai kabilah yang berbeza atas tujuan yang berbeza.

"Maka saya telah mengingatkan para perwakilan agar mencari calon-calon yang boleh memperkukuhkan parti dan tidak mempunyai agenda bagi mewujudkan kabilah yang berlainan dengan hasrat bagi menyatukan semula parti dan memperkukuhkan parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pengenalan Calon-calon Naib Presiden, MKT dan EXCO Sayap-sayap UMNO Bagi Penggal 2023-2026 Peringkat Negeri Kedah dan Perlis di Bangunan Tunku, Alor Setar pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid mengharapkan kesemua ahli UMNO dapat menterjemahkan agenda parti itu untuk 'membumi ke bawah' selain mempunyai fikrah yang sama atas semangat satu pasukan.

Ia adalah bagi memastikan tahap keyakinan rakyat kepada UMNO sebagai pemacu kepada penyatuan ummah terutama dalam kalangan pengundi-pengundi muda dapat dikembalikan.

"Maka semangat sepasukan ini dengan, (mana-mana pihak di dalam UMNO) tidak mempunyai agenda selain daripada ketetapan yang telah dibuat oleh parti, kerana selepas (Pilihan Raya Umum) 2018, apabila kita kalah dan kita berada sebagai pembangkang selama 22 bulan, ketika itu sepatutnya kita bersemangat sebagai satu pasukan.

"Sebaliknya di dalam tempoh lima tahun lalu itu, kita termakan racun fitnah yang dibuat pihak luar, (jadi kita harus) belajar daripada pengalaman ini (memandangkan) kita (adalah) sebuah parti yang besar tetapi memenangi kerusi yang sedikit," katanya lagi.