KUALA LUMPUR: Pemilik akaun Facebook Nong Mazlan yang ditahan pada Sabtu lepas kerana memuat naik kenyataan provokasi dan hasutan, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia Datuk Noorsiah Saaduddin berkata ia berikutan polis masih belum menerima laporan analisis forensik daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Beliau berkata suspek dibenarkan bebas dengan jaminan polis setelah tamat tempoh reman hari ini dan kertas siasatan kes berkenaan juga telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara semalam untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, Noorsiah berkata lelaki tempatan berusia 61 tahun yang menggunakan nama akaun Facebook Nong Mazlan itu, ditahan di Kampung Hulu, Melaka, Sabtu lepas.

"PDRM turut merampas dua telefon bimbit yang disyaki digunakan bagi memuat naik tiga hantaran berkenaan di Facebook.

"Kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian terhadap mana-mana raja atau kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya suspek turut disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

-- BERNAMA