JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa pemilik haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing di Sarawak mendapatkan vaksinasi untuk haiwan peliharaan mereka dalam usaha mengekang penularan penyakit rabies di negeri itu.

Timbalan Menterinya Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata hal itu kerana situasi wabak rabies di Sarawak ketika ini agak membimbangkan justeru usaha pencegahan perlu dibuat secara teratur.

Beliau berkata langkah-langkah pencegahan telah dijalankan kerajaan negeri Sarawak termasuk menerusi Jabatan Veterinar yang menjalankan program suntikan vaksinasi terhadap haiwan peliharaan.

"Difahamkan Jabatan Veterinar dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) ada membuka kaunter di mana pemilik haiwan peliharaan boleh datang dan mendaftarkan haiwan mereka untuk mendapatkan suntikan..

"..manakala bagi haiwan liar pula, suntikan vaksinasi akan dibuat apabila pihak berkenaan menerima aduan. Ini penting kerana anjing khususnya bergerak dalam kumpulan dan sering masuk ke kawasan kediaman," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sukan Kebangsaan KKM Sempena Bulan Malaysia Sihat Sejahtera di Stadium Mount Austin, di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor Dr Mohtar Pungut.

Dalam pada itu, beliau berkata pemerhatian terhadap wabak rabies tertumpu kepada Sarawak kerana kes di negeri itu agak serius dengan sebanyak 15 kes maut dilaporkan tahun ini.

"Situasi (wabak) rabies di Semenanjung Malaysia terkawal. Sejak 2020 hingga 2023 hanya terdapat tiga kes direkodkan di Selangor berbanding Sarawak sebanyak 75 kes bagi tempoh itu," katanya ketika ditanya sama ada terdapat kes rabies di Semenanjung Malaysia.

Sebelum ini, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Ooi Choo Huck memaklumkan sebanyak 17 kes rabies dicatatkan di negeri itu bagi tempoh Jan hingga 17 Sept, melibatkan lima kes di Bahagian Sibu, Serian (empat), Kuching (tiga), Bintulu (tiga) dan Samarahan (dua).

-- BERNAMA