Sejak tiga minggu lalu, Zuraini Yaacob menyediakan nasi kukus berlauk ayam untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan bagi meringankan beban masyarakat yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Pengusaha yang berusia 53 tahun itu berkata langkah berkenaan tercetus selepas melihat kesusahan dihadapi masyarakat apabila ada di antara mereka dibuang kerja sehingga terputus bekalan makanan.
Katanya sebanyak 300 bungkus nasi percuma itu akan diagihkan di tiga cawangan kedai miliknya di Kuala Berang, Bukit Payong dan Wakaf Tapai seminggu sekali.
"Kita tengok sendiri ketika pandemik ini keadaan semakin teruk dengan ada yang kehilangan pekerjaan.
"Jadi selepas berbincang dengan anak saya, kami putuskan untuk mengagihkan makanan percuma ini," katanya.
Jelas Zuraini, sebelum ini bekalan makanan berkenaan hanya ditempatkan di masjid-masjid untuk diambil oleh orang ramai namun kini mereka sepakat untuk melaksanakan di kedai makan miliknya.
Ternyata usaha itu melegakan hati penduduk yang terjejas termasuk golongan warga emas dan juga pelajar.
Mereka bersyukur kerana masih banyak pihak dan peniaga yang prihatin sudi membantu golongan memerlukan dengan pelbagai cara.
Jelas mereka banyak pihak mendapat manfaat daripada usaha murni seperti yang dilakukan pemilik Umira Nasi Kukus yang bertapak di Hulu Terengganu ini khususnya buat mereka yang tiada punca kewangan.