MALAYSIA
Pemilik muzium seni didenda RM300,000 simpan bahagian hidupan liar tanpa lesen

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Dia membayar denda itu. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pemilik muzium seni didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyimpan pelbagai bahagian anggota hidupan liar yang dilindungi tanpa lesen dan permit khas, tahun lepas.
Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas Yiu Shoou Rang, 66, mengaku bersalah atas lapan pertuduhan pindaan.
Mahkamah turut memerintahkan Yiu menjalani hukuman penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Dia membayar denda itu.
Yiu didakwa atas empat pertuduhan menyimpan tanpa permit khas antaranya tengkorak orang utan, dua tengkorak buaya tembaga, tujuh gading gajah iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis perniagaan di Pasar Seni, Jalan Hang Kasturi di sini pada 3.20 petang, 8 Jan 2024 mengikut Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 68(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Lelaki itu turut berdepan empat lagi pertuduhan menyimpan beberapa hidupan liar iaitu 150 bahagian babi hutan, 10 bahagian duri landak dan enam bahagian tanduk rusa sambar tanpa lesen pada tempat, masa dan lokasi sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, lima lagi pertuduhan sama yang dihadapi Yiu sebelum ini diambil pertimbangan (TIC) oleh mahkamah di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Rashid memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, namun peguam Teh See Khoo yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan barangan tersebut adalah simpanan barangan Orang Asli untuk koleksi muzium.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami