KUALA LUMPUR: Seorang pemilik syarikat elektrik dan elektronik didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menggunakan dokumen palsu dalam borang pengesahan pekerja bagi memperoleh bayaran di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah RM63,500, dua tahun lepas.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Raymond Sim, 35, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap dua pertuduhan pilihan itu pada prosiding hari ini yang ditetapkan untuk pengurusan kes.

Mahkamah turut memerintahkan Sim menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Sim didakwa atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu membabitkan borang pengesahan pekerja atas nama dua syarikat iaitu Fireshot Marketing Sdn Bhd dan Minbot Sdn Bhd bertarikh 29 Mei dan 1 Jun 2021 yang mengandungi nama pekerja baharu sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen itu bukan pekerja dua syarikat berkenaan.

Ia bagi memperoleh bayaran di bawah peruntukan Penjana, masing-masing berjumlah RM46,000 dan RM17,500 untuk melaksanakan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di pejabat Perkeso di Kuala Lumpur dan Putrajaya antara 3 Jun dan 10 Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, 10 lagi pertuduhan pilihan membabitkan dokumen palsu yang dihadapi Sim sebelum ini dipertimbangkan di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira jumlah kerugian yang dialami Perkeso adalah agak besar.

Peguam Reuben Ong memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan seorang anak Orang Kurang Upaya yang mempunyai masalah kesihatan serta ibu bapa yang tinggal bersamanya.

"Anak guam saya telah insaf dan dia perlu menanggung kos rawatan anaknya di hospital," katanya.

-- BERNAMA