KUALA LUMPUR: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN)  menyanggah kenyataan yang dibuat Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa bahawa gabungan itu merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar menitahkan supaya sidang Parlimen diadakan segera.

Awal hari ini, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran menegaskan bahawa mesyuarat BN pada Rabu lalu mengambil ketetapan untuk tidak membuat sebarang andaian dengan titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung sidang Parlimen.

"Saya terkejut dengan kenyataan pengerusi BN. Mesyuarat BN tidak pernah menyokong sebarang keputusan untuk merayu Seri Paduka agar menitahkan mengadakan Parlimen dengan segera," katanya kepada Malaysiakini.

Vigneswaran menjelaskan isu titah Yang di-Pertuan Agong mengenai persidangan Parlimen itu dibincangkan dalam mesyuarat BN pada Rabu.

"Tetapi, terdapat penjelasan daripada beberapa pihak bahawa Agong bukan menitah untuk mengadakan sesi Parlimen dengan segera sebaliknya hanya mencadangkan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.

"Maka, kami mengambil pendirian untuk tidak membuat sebarang andaian dan tiada keperluannya untuk membuat sebarang kenyataan berhubung sesi Parlimen," katanya.

Politik | BN syor Sidang Parlimen disegerakan


Manakala Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong pula menyokong mengesahkan apa yang dikatakan oleh Vigneswaran itu benar

"Saya sahkan apa dikatakan oleh Viki (Vigneswaran) adalah betul," katanya.

Pakatan Harapan

Timbalan Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup pula berkata Dewan Tertinggi BN tidak setuju berhubung kenyataan media yang dikeluarkan Zahid.

Pada Khamis, Ahmad Zahid membuat kenyataan bahawa BN merayu kepada Yang di-Pertuan Agong agar menitahkan supaya sidang Parlimen diadakan segera.

Ahmad Zahid berkata Seri Paduka Baginda boleh menggunakan kuasa wewenang baginda di bawah Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, yang dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan BN itu dipertikaikan banyak pihak kerana ia dilihat hampir sama dengan kenyataan yang dikeluat oleh Pakatan Harapan pada hari yang sama.

Sementara itu, Malaysiakini juga melaporkan, Vigneswaran menegaskan bahawa ketetapan UMNO berhubung kerjasama dengan Bersatu bukan ketetapan BN.

"Ketetapan BN bukan ketetapan UMNO dalam isu kerjasama politik dengan Bersatu dan PN pada masa sekarang," katanya.

Dia menambah bahawa Ahmad Zahid juga telah memberi jaminan bahawa BN tidak akan sesekali bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

"Zahid memberi jaminan atas nama tuhan bahawa tidak akan bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah pada bila-bila masa sahaja," katanya lagi.