Mana-mana pemimpin UMNO yang 'merajuk' dan menjauhkan diri daripada parti perlu kembali bersatu tenaga bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata langkah itu perlu jika mereka benar-benar sayangkan UMNO dan tidak ada agenda peribadi selama berjuang bersama parti.

"Kembalilah semula, bersatu tenaga untuk menumbangkan pembangkang, buktikan keikhlasan dan setia kepada parti.

"Mana-mana pemimpin yang merajuk, termasuk yang kononnya marahkan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mengotakan prinsip yang sedia berkhidmat kepada parti.

"Sekarang kita bakal berdepan dengan PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, buktikan dengan tindakan untuk mempertahankan UMNO melebihi agenda peribadi," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya hari ini.

Jelasnya, PRK di kedua-dua kawasan berkenaan bukan kerana kepentingan individu tertentu, tetapi demi kelangsungan perjuangan UMNO untuk kepentingan rakyat dan Melayu khususnya.

"PRK Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak menjadi ujian sejauh mana kekuatan semangat perpaduan di kalangan ahli-ahli UMNO.

"Kekuatan sebenar UMNO akan menjadi ukuran tahap keupayaan parti itu termasuk BN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

"PRK di kedua-dua kawasan berkenaan akan menjadi garis penentu untuk melihat sokongan pengundi terhadap UMNO dengan mengambil kira senario politik yang berlaku masa kini," ujarnya.

Oleh itu, jelasnya, sudah menjadi tanggungjawab ahli dan pemimpin UMNO untuk kembali bersatu atas satu semangat kecintaan kepada parti di samping meneruskan tradisi membela nasib rakyat.

Katanya, hanya mengekalkkan semangat bersatu-padu dan ukhwah yang kukuh sesama ahli UMNO akan menjadikan parti lebih kuat dan mampu berdepan dengan pihak pembangkang.

"Walaupun secara tradisinya kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar menjadi milik UMNO, tetapi tidak bermakna jentera parti memandang mudah dengan kemampuan calon pembangkang.

"Bagaimanapun saya percaya pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan memberikan kemenangan yang lebih besar kepada calon BN pada PRk kali ini.

"Saya juga berharap tidak akan berlaku perbuatan mensabotaj parti oleh mana-mana pihak terutama membabitkan pemilihan calon UMNO yang bakal bertanding," katanya.

Katanya lagi, UMNO di kedua-dua negeri berkenaan mempunyai kaedahnya tersendiri dalam penentuan calon dan semestinya sentiasa akur dengan apa juga keputusan yang bakal diputuskan oleh presiden parti.

Mengenai kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Syed Ali berkata perkara itu sesuatu yang lumrah berlaku pada setiap kali PRK.

"UMNO tidak pernah gentar berdepan dengan mana-mana calon pembangkang sama ada daripada PAS, Amanah mahupun PKR.

"Tidak ada sebab mengapa pengundi terutama orang Melayu akan terpedaya dengan dakyah dan serangan fitnah yang dilakukan pembangkang.

"Saya tidak nampak mengapa UMNO perlu ditumbangkan pada PRK di kawasan berkenaan kerana selama ini terbukti kerajaan BN telah banyak memberi manfaat kepada rakyat," ujarnya.