KUALA LUMPUR: Pemohon janji temu bagi fasa kedua program vaksin COVID-19 buatan AstraZeneca mengalami masalah teknikal selama 30 minit selepas dibuka pukul 12 tengah hari ini.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi Twitter bagaimanapun menjelaskan bahawa isu teknikal tersebut telah diatasi.

“Mereka yang berminat untuk membuat tempahan untuk vaksin AstraZeneca kini boleh berbuat demikian.

“Masalah teknikal sebentar tadi telah diselesaikan. Segala kesulitan amat dikesali,” jelas JKJAV sekitar pukul 12.37 tengah hari melalui Twitter.


Tinjauan Astro AWANI di Twitter mendapati beberapa pemohon berdepan isu teknikal ketika memilih Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan tarikh janji temu.




Pemohon janji temu vaksin COVID-19 AstraZeneca fasa pertama pada 2 Mei lalu turut berdepan isu teknikal yang sama ketika awal pendaftaran, iaitu ketika memilih lokasi PPV dan tarikh janji temu.

Bagaimanapun, seramai 268,000 pemohon vaksin AstraZeneca pada fasa pertama selesai didaftarkan kurang empat jam selepas pendaftaran dibuka setelah masalah teknikal tersebut diselesaikan.

BACA: Pendaftaran AstraZeneca, sistem masih di takuk lama?

BACA: Tak sampai empat jam, 268,000 vaksin AstraZeneca sudah habis ditempah - KJ

Kali ini, sebanyak 1.24 juta dos vaksin AstraZeneca disediakan bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas menerusi fasa kedua program imunisasi secara sukarela.

Fasa kedua melibatkan lapan Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPVAZ) di lima buah negeri, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.

JKJAV sebelum ini memaklumkan pemberian suntikan bagi pusingan kedua inisiatif ini akan dimulakan pada 7 Jun sehingga 27 Julai.

Orang ramai yang ingin menempah slot janji temu boleh melayari laman sesawang www.vaksincovid.gov.my.